Jumlah murid keracunan makanan di SK Chepor meningkat kepada 101 orang selain kantin sekolah diarah tutup oleh PKD Kinta pada Rabu.
Jumlah murid keracunan makanan di SK Chepor meningkat kepada 101 orang selain kantin sekolah diarah tutup oleh PKD Kinta pada Rabu.

Murid keracunan makanan meningkat, kantin SK Chepor diarah tutup 14 hari

SAIFULLAH AHMADSAIFULLAH AHMAD
26 Sep 2024 12:27pm

IPOH - Jumlah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini yang mengalami keracunan makanan meningkat kepada 101 orang berbanding 86 murid yang dilaporkan semalam.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta pada awalnya menerima notifikasi mengenai lima murid sekolah berkenaan jam 8 pagi pada Rabu, kerana mengalami gejala keracunan makanan seperti cirit, muntah, sakit perut dan demam yang menerima rawatan di dua fasiliti kesihatan di sekitar Ipoh.

Menurutnya, hasil siasatan pengesanan kes aktif seramai 96 orang kes lagi telah dikesan sehingga jam 5 petang Rabu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 101 orang melibatkan 50 murid perempuan dan 51 orang murid

"Seorang murid sekolah tersebut telah dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Seramai 62 murid lagi telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta yang berhampiran dengan kawasan rumah masing-masing.

"Manakala, baki murid lain didapati hanya mengalami simptom-simptom ringan dan telah berehat di rumah masing-masing. Kesemua kes berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sivanesan berkata, sebanyak 10 sampel klinikal diambil dalam kalangan murid yang bergejala selain beberapa sampel makanan, swab pisau, swab papan pemotong dan permukaan meja serta tiga sampel swab pengendali juga telah diambil seterusnya dihantar untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam, di sini.

Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan awal, makanan yang disyaki menjadi punca kejadian wabak keracunan makanan tersebut ialah minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin tersebut.

Jelasnya, agen yang disyaki menyebabkan keracunan ini ialah Salmonella spp berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes.

"Pihak PKD Kinta telah membuat pemeriksaan premis kantin SK Chepor pada 25 September dan mendapati penilaian premis makanan berasaskan risiko adalah tidak memuaskan dengan tahap rating 67.9 peratus.

"Sehubungan itu, pihak PKD Kinta telah mengeluarkan arahan penutupan kantin SK Chepor selama 14 hari di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

"Selain itu, satu kompaun juga telah dikeluarkan atas kesalahan pemakaian aksesori sewaktu mengendalikan makanan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Sivanesan menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan saranan berkaitan keselamatan makanan iaitu lihat, hidu dan rasa sebelum makanan dimakan.

Beliau berkata, semua pengendali makanan pula mesti mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bagi mengelak kejadian keracunan makanan.

Pada Rabu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah memaklumkan seramai 86 murid SK Chepor mengalami gejala keracunan makanan melibat murid sesi pagi dan petang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp