Kemalangan membabitkan motosikal dan van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih pada Khamis menyebabkan seorang murid Tahun Satu maut - Foto Ihsan polis
Kemalangan membabitkan motosikal dan van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih pada Khamis menyebabkan seorang murid Tahun Satu maut - Foto Ihsan polis

Murid maut di usia 7 tahun. ‘Dia meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala’

18 Oct 2024 11:30am

Murid Tahun Satu, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu, Baling, Kedah, Muhammad Darimi Mohd. Naim, 7, maut selepas motosikal dibonceng bersama abang dan rakan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van pada Khamis.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.35 petang di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih di sini, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut akibat kecederaan parah di kepala.

Abang mangsa, 10, yang menunggang motosikal itu cedera di leher dan luka pada anggota badan manakala rakan mereka, 10, patah kaki kanan. Kedua-duanya merupakan murid dari sekolah yang sama.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki tiga kanak-kanak itu datang dari arah Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.

"Sebuah van jenis Nissan pula datang dari arah Kampung Landai, Sik, menghala ke Kampung Bandar.

"Setibanya di tempat kejadian, van dinaiki tiga individu yang bergerak lurus telah melanggar motosikal mangsa yang keluar dari simpang," ujarnya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pemandu van dan dua rakannya dalam perjalanan ke Pasar Malam Kampung Bandar untuk berniaga.

"Rempuhan itu mengakibatkan penunggang motosikal melambung dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan jalan.

Artikel Berkaitan:

"Dua pembonceng pula tersepit di bahagian tayar hadapan dan belakang van. Mangsa berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, murid yang cedera dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

"Pemandu van luka di tangan dan kaki kanan manakala penumpang tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp