WhatsApp Image 2022-11-09 at 4.08.47 PM
WhatsApp Image 2022-11-09 at 4.08.47 PM

Murid SK Bandar Seri Putra timba pengalaman berharga menerusi latihan praktikal bahan kitar semula

Roshlawaty Md Raieh
11 Nov 2022 02:24pm
A
A
A

Kegembiraan jelas terbayang pada wajah murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor apabila diberi peluang mengikuti latihan praktikal menerusi Program Pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda, baru-baru ini.

Latihan praktikal yang diadakan di sekolah itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk murid lakukan bersama-sama.

Menurut Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, SK Bandar Seri Putra, Cikgu Haslina Kamaluddin, aktiviti seperti mengasingkan dan membawa bahan kitar semula ke sekolah memberi keterujaan kepada murid yang terlibat.

Ujarnya, setiap murid dikehendaki membawa bahan kitar semula seperti kertas, tin aluminium, kaca, plastik dan peralatan elektronik yang rosak untuk ditimbang serta dicatatkan dalam rekod Stesen Kitar Semula.

“Sebagai menghargai usaha mereka dalam menjayakan program ini, pihak sekolah memberi saguhati kepada murid (individu) yang menyumbang bahan kitar semula paling berat serta kategori kelas yang berjaya mengumpulkan berat tertinggi juga menerima hadiah istimewa,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Cikgu Haslina

SK Bandar Seri Putra adalah antara yang dipilih bersama 27 sekolah lain di daerah Hulu Langat bagi menyertai Program Pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda serta cabaran Petronas Chemical Group (PCG) Be Green 2022.

Program ini dianjurkan oleh Unit Pembangunan dan Penyelidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pusat STEM Negara.

Ia akan diadili dalam dua aspek iaitu pembinaan Stesen Kitar Semula dan pengumpulan Bahan Boleh Kitar (BBK) terberat.

Bagi cabaran PCG Be Green 2022 pula, ia merupakan anjuran Petronas Chemical Group Berhad.

Yang pasti, matlamat utama penganjuran kedua-dua program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai pengurusan BBK yang baik mampu menyelamatkan alam sekitar daripada timbunan sampah setiap hari.

Mengulas lanjut, Cikgu Haslina berkata, Program Pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda itu turut mendapat sambutan hebat dalam kalangan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga penduduk sekitar Bandar Seri Putra.

Masing-masing memberi sokongan penuh dan turut menghantar bahan kitar semula kepada sekolah ketika program berlangsung.

Sementara itu, Guru Besarnya, Mohamad Jamil Yahaya memberitahu, program tersebut sangat bermanfaat kepada murid-murid kerana mereka sendiri terlibat secara langsung dalam mengenal pasti, mengasingkan dan membawa bahan kitar semula untuk ditimbang seterusnya menyumbang kepada pengurangan sampah dalam komuniti setempat.

Beliau turut memberi penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha gigih dalam memastikan objektif penganjuran program tersebut memberi impak kepada murid-murid di sekolah itu.

Dalam pada itu, Cikgu Haslina berkata, pengumpulan BBK di Stesen Kitar Semula SK Bandar Seri Putra semakin meningkat pada setiap hari berikutan kesedaran dalam kalangan murid-murid serta komuniti setempat yang sentiasa peka dengan kempen yang turut dihebahkan melalui media sosial rasmi sekolah.

“Sebagai guru, saya begitu gembira dengan perkembangan ini. Sekurang-kurangnya, pengumpulan BBK dapat menyelamatkan alam sekitar,” tuturnya lagi.

Artikel berkaitan 

Cikgu Mohd Fadli ajak orang ramai derma buku untuk perpustakaan bergerak Dana Kita

Teknik mudah menulis karangan cara Cikgu Ayu, murid pasti boleh buat

Kerana kasih seorang guru, Ustaz Ismail sanggup ke sekolah di pedalaman kongsi ilmu robotik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok