Murid Tahun 5 jadi peserta termuda MTHQK
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Ke-65 Tahun 1444H/2023M kini sedang berlangsung mulai 11 hingga 16 Jun 2023 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Seramai 42 qari dan 42 qariah mengambil bahagian serta memperdengarkan bacaan mereka dalam pertandingan tersebut.
Menariknya MTHQK kali ini, ia turut disertai peserta yang berusia 11 tahun dan merupakan qariah termuda dalam majlis tersebut.
Wiedaad Izzaddiin yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Guchil, Kuala Krai, Kelantan, tidak pernah menyangka berpeluang menyertai pertandingan berprestij tersebut.
“Memang tidak sangka terpilih menyertai MTHQK namun akan cuba beri yang terbaik dalam pertandingan ini.
“Setakat ini, saya tidak meletakkan sasaran untuk menang kerana pengalaman yang ditimba sudah cukup bermakna.
"Bagi saya, jangan cepat putus asa dan teruslah kekal menghafaz al-Quran,” ujarnya.
Wiedaad yang sedang belajar di Tahun Lima mula menghafal al-Quran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar tahun 2020.
Dia kemudiannya mengikuti pengajian di Akademi Al-Quran Amalillah di Terengganu dan berjaya menghafaz 30 juzuk kitab suci itu dalam masa setahun.
Setelah itu, anak sulung daripada lima beradik ini mendalami bidang hafazan di Maahad Tahfiz Barniyah Puteri, Tanah Merah, Kelantan hingga bergelar johan hafazan kategori wanita peringkat negeri April lalu sekali gus mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan.
Menurut Wiedaad, dia akan terus berlatih setiap hari demi mempertingkatkan dan membaiki lagi bacaan al-Qurannya.
Malah, dia akan meneruskan bidang hafazan al-Quran hingga ke peringkat sekolah menengah di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan kelak.
Sumber: Harian Metro