manga1
manga1

Nippon Designers School Malaysia College tawarkan program pengajian animasi manga

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Jul 2022 09:14am
A
A
A

Berminat dalam bidang animasi manga yang popular dari Jepun? Kini peluang pengajian dalam bidang berkenaan terbuka luas apabila Irfigo Malaysia Sdn Bhd melancarkan secara rasminya pembukaan Nippon Designers School (NDS) Malaysia College yang terletak di Bandar Sunway, pada Isnin.

Kolej yang mempunyai sejarah lebih 50 tahun itu dikatakan yang pertama menawarkan program pengajian dalam bidang ilustrasi dan animasi manga di Malaysia malah turut mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Majlis perasmian kolej berkenaan disempurnakan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Irfigo Malaysia Sdn Bhd, Song Songryol.

Katsuhiko berkata, penubuhan NDS di Malaysia menunjukkan kejayaan Polisi Pandang ke Timur yang dilaksanakan Malaysia sekali gus membantu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang ilustrasi dan animasi.

"Mengambil kira peningkatan minat golongan belia dalam bidang interaktif, animasi dan permainan video dari Jepun ini menyebabkan jangkaan tinggi diletakkan kepada NDS untuk menghasilkan lebih ramai tenaga pakar dan profesional dalam bidang ini di Malaysia.

"Sumbangan NDS tidak hanya terhad di Malaysia kerana kolej ini juga merancang untuk menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan di rantau Asia malah saya yakin peranan NDS dalam masyarakat akan berterusan dengan meransang kreativiti dan sifat ingin tahu bakal-bakal pereka di masa depan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kolej berkenaan.

Sementara itu, Songryol berkata, NDS adalah kolej profesional yang mula menawarkan pendidikan praktikal dalam bidang reka bentuk dan ilustrasi di Shibuya, Jepun pada 1965 dan sudah berjaya melahirkan seramai 35,000 graduan.

"Kami belum lagi menjadi sebuah kolej yang besar tetapi mempunyai visi dan impian yang besar dan sebagai langkah pertama kami membawakan kolej ini menjadi lebih dekat untuk warga Malaysia menyambung pengajian dalam bidang animasi manga.

“Program pertama ditawarkan di NDS Malaysia College ialah Diploma Ilustrasi Manga yang membabitkan tempoh pengajian hampir tiga tahun dan pada Januari 2023, kami merancang untuk memperkenalkan kursus tiga dimensi (3D) membabitkan Computer Generated Imagery (CGI) pula,” ujarnya.

NDS Malaysia College menawarkan pelbagai kemudahan termasuklah kelas digital yang dilengkapi dengan komputer dan tablet LCD serta peralatan terkini lain yang sesuai untuk pendidikan kreatif.

Sesi kuliah pula dikendalikan pensyarah profesional dari Malaysia dan Jepun malah pelajar juga berpeluang mengikuti seminar dan bengkel khas yang dikendalikan professional dari rantau Asia.

Pelajar juga berpeluang mengikuti program pertukaran dan latihan praktikal di Jepun serta merasai sendiri pengalaman berjumpa dengan pelukis manga dari Jepun.

Artikel berkaitan

Minat terhadap ‘anime’ dan K-pop, faktor utama dalam peningkatan bilangan pelajar mengambil ijazah Bahasa Korea dan Jepun

Fokus pembentukan sahsiah diri ketika kecil, sistem pendidikan di Jepun patut dicontohi

Kelainan sekolah di Jepun yang mungkin ramai tidak tahu. Ini faktanya!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok