Calon-calon SPM mengulang kaji pelajaran ketika menunggu giliran bagi menduduki ujian lisan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Pulau Pinang. Foto: Bernama
Calon-calon SPM mengulang kaji pelajaran ketika menunggu giliran bagi menduduki ujian lisan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Pulau Pinang. Foto: Bernama

NUTP sokong KPM teruskan peperiksaan SPM 2024! 'Jangan polemikkan isu ini'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Dec 2024 02:49pm

"Kami menyokong langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Peperiksaan SPM Tahun 2024 pada 2 Disember.

"Ini kerana, KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah bertungkus lumus dari awal iaitu bermula dengan membina soalan, mencetak kertas peperiksaan, agihan dan pelaksanaan peperiksaan.

"Malah, penandaan kertas peperiksaan dan sehingga tarikh mengumumkan keputusan peperiksaan juga telah diambil kira dengan berhati-hati,” kata Setiausaha Agong, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon dalam kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, sebarang pindaan atau perubahan tambahan dalam menyusun dan mengatur peperiksaan SPM tidak boleh dibuat sesuka hati.

"Tarikh peperiksaan telah diselaraskan dengan pihak pengajian lanjutan selepas peperiksaan SPM.

"Selain itu, jumlah kertas peperiksaan yang terlalu banyak juga perlu diambil kira.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

"Jika isu banjir membuatkan peperiksaan SPM perlu ditunda, maka perlu dilihat juga tempoh berapa lama perlu diambil untuk penjadualan semula," katanya.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata, Ops Payung yang dirancang KPM telah menempatkan calon-calon yang terjejas akibat banjir di beberapa asrama terpilih.

"Secara keseluruhannya seramai 402,956 calon yang mendaftar di 3,337 pusat peperiksaan dan melibatkan 126,636 orang petugas.

"Peperiksaan bertulis seperti di dalam takwim peperiksaan akan diadakan pada 2 Januari 2025 hingga 6 Februari 2025.

"Ketika itu diharapkan keadaan banjir akan pulih seperti biasa. Perkara-perkara ini perlu diambil kira oleh pihak KPM dan LPM. Oleh itu, rungutan berkaitan dengan buku rujukan dan pakaian adalah tidak relevan,” ujarnya.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Sementara itu, Fauzi berkata, KPM begitu prihatin akan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir semasa peperiksaan berlangsung.

Ujarnya, mereka (KPM) juga sentiasa siap siaga dan mengambil langkah persediaan yang sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

"NUTP menyokong sepenuhnya dan menghargai segala usaha serta perancangan awal yang dibuat KPM dan LPM bagi memastikan peperiksaan berlangsung mengikut jadual ditetapkan.

"Kami amat berharap masyarakat tidak mempolemikkan isu banjir ini agar suasana akan lebih harmoni dan mereka yang terlibat dengan banjir tidak ditambah beban serta emosi mereka,” tuturnya.

Akhir sekali, Fauzi mendoakan semoga semua mangsa banjir dalam kalangan guru dan murid bersabar dan tenang menghadapi dugaan ini.

"Musibah banjir datang dan pergi, namun perjuangan anak-anak calon SPM harus diteruskan dengan penuh tabah dan semangat juang yang tinggi," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp