
Pelajar autistik berbakat hasilkan lukisan akrilik
Sesetengah individu melihat Ainul Syeefa Zamrol, 15, mempunyai kekurangan, namun remaja autistik itu ternyata cukup istimewa kerana dianugerahkan bakat dan kebolehan melukis yang luar biasa yang mungkin tidak dimiliki insan normal lain.
Buktinya, hasil lukisan akrilik pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ) itu semakin mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk sebuah syarikat perbankan yang mahu mengabadikan karya seninya dalam bentuk kalendar dan poskad korporat.
Ibunya, Suraya Abdul Rahman, 54, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu mula menunjukkan minat dan bakat melukis sejak berusia tujuh tahun sebagai medium mengekspresikan imaginasi serta perasaannya.
Beliau berkata, Ainul Syeefa gemar melukis pelbagai subjek termasuk watak puteri, cerita rakyat, bunga, hidupan liar, kupu-kupu serta elemen seni dan kebudayaan.
"Biasanya dia akan melukis pada waktu malam berdasarkan imaginasi yang tercetus daripada bahan bacaan serta tontonannya di YouTube. Sebagai contoh, sekiranya dia membaca kisah Puteri Lindungan Bulan, dia akan menghasilkan lukisan puteri dalam karakter kartun.
"Ketika melukis dia tidak boleh diganggu dan jika ingin menegur perlu dengan cara yang lembut. Setiap lukisan mengambil masa antara dua minggu hingga dua bulan untuk disiapkan, bergantung kepada saiz kanvas," katanya.

Suraya yang juga guru Matematik di sekolah tersebut berkata lukisan yang kaya dengan warna dan bentuk itu bukan sahaja membina keyakinan diri, malah berfungsi sebagai terapi emosi buat golongan istimewa seperti Ainul Syeefa.
"Sejak usia 12 tahun, dia aktif menyertai pelbagai program dan pameran seni melibatkan pelajar autistik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kami sekeluarga banyak berkorban dari segi masa, tenaga dan kewangan untuk memastikan bakat istimewanya tidak disia-siakan," katanya yang mula menyedari bakat anaknya itu selepas lawatan ke sebuah galeri seni di Alor Setar ketika Ainul Syeefa berusia tujuh tahun.
Suraya berkata hingga kini hampir 300 lukisan telah dihasilkan Ainul Syeefa, termasuk karya terbaharu Puteri Lindungan Bulan serta merancang menghasilkan lukisan Dang Anum memakan buah nangka inspirasi daripada cerita rakyat.

Sementara itu, Pengetua SMoKBJ Jamkhuriyati Hussain berkata pihak sekolah merancang untuk menubuhkan Galeri Ainul Syeefa bagi menempatkan ratusan karya lukisan pelajar tersebut sebagai tanda sokongan dan penghargaan.
Beliau berkata, galeri itu bakal menjadi simbol perjalanan bakat seorang pelajar autistik serta sumber inspirasi kepada pelajar lain untuk berkarya.
"Insya-ALLAH sebelum Mac ini galeri berkenaan akan direalisasikan dan sebuah blok bangunan kosong akan dihiasi mural menggunakan hasil lukisan Ainul Syeefa," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Ainul Syeefa Zamrol, remaja autistik berbakat dalam melukis dan karya seninya mendapat perhatian pelbagai pihak
- Beliau mula melukis pada umur tujuh tahun dan melukis sebagai medium ekspresi imaginasi serta perasaannya
- Ainul Syeefa gemar melukis subjek pelbagai tema termasuk puteri, cerita rakyat, dan elemen seni kebudayaan
- Sejak usia 12 tahun, Ainul Syeefa aktif menyertai pelbagai program dan pameran seni untuk pelajar autistik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
- Pengetua Sekolah Model Khas Bukit Jenun merancang menubuhkan Galeri Ainul Syeefa untuk menempatkan karya lukisannya sebagai tanda sokongan dan penghargaan