Merupakan sebuah sekolah yang memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak Bajau Laut di Pulau Omadal, Semporna, Sabah. Kredit foto: Facebook Iskul Sama Dilaut Omadal
Merupakan sebuah sekolah yang memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak Bajau Laut di Pulau Omadal, Semporna, Sabah. Kredit foto: Facebook Iskul Sama Dilaut Omadal

Operasi Iskul Sama Dilaut Omadal perlu perbincangan lanjut

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 Dec 2023 05:47pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum mengenai polemik pengoperasian sekolah komuniti, Iskul Sama Dilaut Omadal di Sabah yang tular kebelakangan ini.

Menurut KPM, pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal berkenaan memerlukan perbincangan lanjut merentasi kementerian dan agensi berkaitan kerana ia tertakluk kepada keputusan dasar kerajaan.

“Perkara ini memerlukan perbincangan lanjut termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen sebelum mengambil sebarang tindakan seterusnya.

“Ia termasuk meneroka opsyen seperti model pelaksanaan sekolah bimbingan jalinan kasih (SBJK) yang dijalankan di beberapa tempat sebagai langkah KPM berhadapan dengan isu ini,” ujarnya dalam kenyataan media pada Selasa.

Terdahulu, Persatuan Pendidikan Bajau Laut telah mengemukakan permohonan penubuhan institusi pendidikan swasta dalam kategori pusat bimbingan alternatif (PBA) kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah pada 30 Oktober 2023.

Bagaimanapun, menurut KPM, Malaysia bukan negara pihak kepada Perjanjian Status Pelarian 1951 atau Protokol Pelarian 1967 bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Maka penyediaan PBA adalah satu inisiatif kemanusiaan oleh kerajaan untuk pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bagi menyediakan mereka untuk penghantaran ke negara ketiga.

"Penubuhan PBA adalah tertakluk kepada ketetapan kerajaan dengan mengambil kira aspek pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan pelarian iaitu Arahan MKN No 23 - Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) serta keselamatan negara,” jelas KPM yang sentiasa beriltizam meningkatkan mutu, kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan bagi semua murid.

Artikel Berkaitan:

INFO

Iskul Sama Dilaut Omadal bermaksud Sekolah Bajau Laut Omadal dalam bahasa Bajau.

Ia merupakan sebuah sekolah yang memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak Bajau Laut di Pulau Omadal, Semporna, Sabah.

Ditubuhkan pada Ogos 2015 dan membantu 150 isi rumah tanpa kewarganegaraan di Pulau Omadal dengan menyediakan makanan, pendidikan asas kepada kanak-kanak dan akses kesihatan asas kepada penduduk di sana.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok