Orang Asli di Gua Musang lega dapat BAP
Rata-rata anggota masyarakat Orang Asli, Gua Musang di Kelantan, meluahkan rasa gembira dan berterima kasih dengan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) oleh kerajaan.
Penghulu Kampung Angkek dan Kampung Podek, Damak Angah, 64, berkata bantuan kepada murid sebelum cuti akhir persekolahan itu dapat membantu ibu bapa masyarakat Orang Asli di sini merancang perbelanjaan keperluan sekolah secara berhemah.
Beliau berkata, rata-rata masyarakat Orang Asli di sini mempunyai anak yang ramai dan setiap tahun terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi dalam menyediakan barangan persekolahan anak-anak.
"Ramai orang kami (Orang Asli) ada lebih daripada dua anak yang bersekolah. Jadi kalau tiada bantuan daripada kerajaan memang rasa agak terbeban untuk beli barang-barang sekolah.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana BAP ini sedikit sebanyak dapat bantu kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di sini pada Khamis.
Sementara itu, ibu tunggal suku kaum Temiar dari Kampung Setawar, Maria Seli, 40, pula mengakui amat bersyukur dengan pemberian bantuan tunai bagi tiga anaknya yang berjumlah RM450.
"Duit bantuan yang diterima ini dapat meringankan beban saya yang perlu menyara sendirian tiga anak untuk beli baju, kasut dan beg sekolah setelah berpisah dengan suami," katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid. - Bernama