
Pahang cipta sejarah: StudentQR perkukuh sahsiah murid secara digital
Pahang mencatat sejarah apabila muncul negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan penggunaan aplikasi StudentQR secara menyeluruh bagi memperkukuh pembangunan sahsiah murid berteraskan adat, identiti dan jati diri negeri.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, pelaksanaan Program Adat dan Identiti Murid Pahang menerusi aplikasi itu sudah mendapat kelulusan rasmi dan selari dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
"Penggunaan aplikasi ini akan dilaksanakan di semua sekolah di Pahang secara berperingkat dan dikaji dengan teliti supaya tidak menambah beban guru.
"Apa yang ditawarkan ialah penglibatan ibu bapa yang disepadukan komunikasinya dengan guru. Input mungkin sama atau berbeza tetapi kita akan fokus kepada matlamat yang hendak dicapai," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Adat dan Identiti Murid Pahang: Aplikasi StudentQR di sini pada Isnin.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Jaxer Digital Sdn Bhd, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Meriam Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir Pengarah Jaxer Digital Sdn Bhd, Datuk Abdul Razif Asmuni.

Ahmad Zamri berkata, penggunaan aplikasi itu tidak menyulitkan semua pihak kerana hanya memerlukan telefon pintar, namun perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan timbul masalah.
"Fokus utama program ini adalah pembinaan karakter murid manakala teknologi hanyalah alat menyokong matlamat pendidikan berteraskan nilai murni.
"Melalui sistem ini, amalan baik murid di rumah dan sekolah dapat direkod serta dihargai. Pihak sekolah pula memperoleh data menyeluruh untuk melihat perkembangan sahsiah murid secara lebih tepat dan berfokus," jelasnya.
Beliau yakin pelaksanaan program secara menyeluruh itu mampu menjadikan Pahang sebagai perintis dan contoh kepada negeri lain dalam memperkasa pendidikan berasaskan sahsiah, nilai dan jati diri murid.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR, Syed Huzaifah Syed Omar berkata, pihaknya optimis aplikasi yang dibangunkan dapat mencapai objektifnya.
"Kita mahu ibu bapa terlibat sama dalam pembinaan karakter dan sahsiah anak-anak sebelum pembangunan seterusnya di sekolah. Untuk merealisasikannya, kita bangunkan aplikasi menggunakan teknologi murah tetapi praktikal iaitu hanya dengan kod QR," katanya.
Beliau menambah, sistem berkenaan selamat digunakan kerana memiliki tahap keselamatan yang baik dan hanya boleh diakses oleh ibu bapa serta guru.
Ringkasan AI
- Pahang menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan penggunaan aplikasi StudentQR untuk pembangunan sahsiah murid
- Penggunaan aplikasi ini selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di Pahang
- Fokus utama adalah pembinaan karakter murid dengan teknologi sebagai alat penyokong
- Sistem membolehkan rekod dan penghargaan amalan baik murid di rumah dan sekolah serta memperolehi data untuk menilai perkembangan murid
- Aplikasi ini dirancang untuk melibatkan ibu bapa dalam pembinaan karakter dan sahsiah anak dengan menggunakan teknologi kod QR