
Seorang murid di Pontian disahkan dijangkiti tibi!
Seorang murid di daerah Pontian, Johor disahkan dijangkiti Tuberkulosis (tibi), kata Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian telah mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti semua kontak rapat dan memaklumkan mereka untuk hadir ke Klinik Kesihatan Pontian bagi menjalani saringan kesihatan.
"Sebagai langkah pencegahan, PKD Pontian akan melaksanakan sanitasi dan pembersihan menyeluruh di kawasan yang dikenal pasti berisiko bagi memastikan keselamatan warga sekolah dan komuniti setempat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua sekolah diingatkan supaya mematuhi arahan dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
Minggu lepas, enam murid di daerah Kota Tinggi disahkan menghidap tibi hasil saringan kontak rapat yang dilaksanakan KKM, namun keadaan dilaporkan terkawal dengan kesemua murid terlibat kini menerima rawatan dan pemantauan rapi.
Kes itu membabitkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan, dengan kesemuanya telah diarahkan menjalani kuarantin mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan.
Terdahulu KKM memaklumkan, kluster tibi dikesan di daerah Kota Tinggi pada 25 Januari lepas, dengan 33 kes positif dikenal pasti hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Februari baru-baru ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang murid di Pontian, Johor disahkan dijangkiti Tuberkulosis
- PKD Pontian telah kenal pasti semua kontak rapat dan memaklumkan untuk saringan kesihatan
- Langkah pencegahan termasuk sanitasi dan pembersihan menyeluruh akan dilaksanakan
- Sekolah diminta patuhi arahan dan garis panduan KKM
- Enam murid di Kota Tinggi disahkan menghidap tibi dan situasi terkawal dengan pemantauan rapi