
'Panah & Pelana' UniMAP serlahkan sukan sunnah dan binaan jati diri
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan komitmennya dalam pembangunan sahsiah dan kesihatan pelajar menerusi penganjuran Program Berkuda Laskar Islam: Panah & Pelana, yang berlangsung meriah di Felda Chuping, Perlis pada Ahad.
Program sukan sunnah ini mendapat sambutan hangat apabila disertai oleh lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar, staf termasuk orang awam berumur 18 tahun ke atas.
Program ini mengetengahkan dua sukan sunnah utama iaitu berkuda dan memanah yang bukan sahaja kaya dengan nilai spiritual dalam Islam, malah berfungsi sebagai medium terapi fizikal dan mental. Latihan intensif dikendalikan oleh Pengasas RT Equestrian Sdn Bhd, Master Coach Rasywan Taufiq, yang berpengalaman luas dalam bidang equestrian dan pembangunan sukan berkuda.
Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Ustaz Muhammad Adib Hassan, objektif utama penganjuran adalah untuk meningkatkan kecergasan fizikal, keseimbangan badan serta koordinasi peserta di samping membantu mengurangkan tekanan mental dan merangsang ketenangan dalaman.
"Program ini turut memberi pendedahan praktikal kepada peserta tentang amalan sunnah Rasulullah SAW, khususnya dalam sukan yang digalakkan oleh Islam," katanya.

Uniknya, aktiviti berkuda dan memanah ini juga berperanan dalam membina keyakinan diri, mengatasi rasa takut, serta memupuk keberanian terutamanya dalam kalangan peserta yang pertama kali menunggang kuda.
Secara tidak langsung, ia turut membantu membentuk watak dan jati diri, menerusi nilai-nilai seperti kesabaran, empati, disiplin dan tanggungjawab hasil daripada interaksi rapat dengan haiwan dan latihan berstruktur.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara Fakulti Perniagaan dan Komunikasi serta PIMPIN sebagai usaha menyemarakkan gaya hidup sihat dan seimbang berteraskan nilai Islam. Program ini selaras dengan agenda pembangunan insan UniMAP di bawah Pillar 5, khusus untuk memperkasa karakter pelajar dan masyarakat kampus.
Para peserta turut meluahkan keterujaan dan menyifatkan pengalaman ini sebagai sesuatu yang unik dan membina. Ramai dalam kalangan mereka menyatakan hasrat untuk meneruskan minat dalam bidang equestrian dan memanah sebagai gaya hidup sihat dan sunnah berterusan.