
Terima komputer riba kerana cemerlang dalam STPM! 'Kejayaan Sira bukti pelajar Orang Asli juga hebat'
Seorang pelajar Orang Asli yang menjadi calon terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 Perak menerima sumbangan komputer riba daripada Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan pada Rabu.
Sira Suhairi, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Muda Abdul Aziz berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.09.
Kesavan berkata, kecemerlangan yang diperoleh Sira membuktikan bahawa anak-anak Orang Asli mampu mencapai kejayaan tinggi dalam akademik.
"Pencapaian Sira telah menaikkan imej Jabatan Pendidikan dan komuniti Orang Asli di negeri ini dengan muncul sebagai pelajar terbaik STPM.
"Sebagai wakil rakyat, saya akan terus membantu untuk menjayakan impiannya yang ingin melanjutkan pelajaran sekali gus bergelar guru suatu hari nanti," katanya pada Rabu.
Media melaporkan Sira sanggup berjauhan daripada keluarga dengan tinggal di asrama yang terletak kira-kira 66 kilometer dari rumah di Pos Kuala Mu untuk fokus belajar.
Komitmen tinggi terhadap kelas tambahan yang diadakan pihak sekolah membantunya memperoleh keputusan cemerlang dan kini menyasarkan untuk menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi merealisasikan impian bergelar pendidik.
Jabatan Pendidikan Negeri Perak turut mengumumkan Sira antara 13 calon Orang Asli yang memperoleh PNGK melebihi 3.0.