Pandangan panel pemansuhan UPSR, PT3
Apabila diumumkan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2021, pelbagai polemik timbul dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ada golongan bersetuju dengan berita itu malah tidak kurang juga yang menentang pemansuhan berkenaan dengan alasan murid-murid kehilangan matlamat pembelajaran di sekolah dan sukar menilai prestasi akademik.
Menurut Pensyarah Universiti UCSI, Kuala Lumpur, Dr Othman Talib, pemansuhan UPSR dan PT3 merupakan permulaan baharu yang dapat memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Katanya, biarpun mendapat banyak tentangan, masyarakat perlu berpegang kepada FPK untuk membangunkan potensi setiap individu tanpa rasa dipinggirkan oleh mana-mana pihak.
Sambung Othman, ketika UPSR dan PT3 diduduki pelajar, mereka berpeluang ke sekolah berasrama penuh jika mendapat keputusan cemerlang.
“Mereka yang mendapat banyak A akan naik pentas dan diraikan hingga menyebabkan murid-murid lain berasa dipinggir.
“Situasi ini sangat songsang dengan FPK sekali gus memberi implikasi kepada murid tersebut.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 429 bertajuk UPSR, PT3: Perlukan ‘U-Turn’? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, Selasa.
Selain Othman yang diundang sebagai panelis, penganjur turut menjemput dua lagi individu untuk berkongsi pendapat.
Mereka ialah finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Samuel Isaiah dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama, Selangor, Mohd Nazri Azalli manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Sementara itu, Samuel berpandangan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperbaiki kaedah pembelajaran sedia ada untuk membentuk pemikiran kritis dan bukan hanya melahirkan murid cemerlang di atas kertas semata-mata.
“Murid mahukan pembelajaran akademik yang mempunyai makna dalam kehidupan.
“Kita sekarang berada di landasan betul dan tidak perlu melakukan ‘u-turn’ kerana ingin melahirkan murid berfikiran kritis.
“Mungkin ada beberapa perkara yang perlu dilakukan antaranya guru perlu mengajar murid untuk berfikir bagi menghasilan penulisan yang baik dan bukan hanya menghafal sahaja,” ujarnya.