Pendapat pensyarah tentang UPSR
UPSR membawa maksud Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.
Kata kuncinya ialah UJIAN PENCAPAIAN.
Apa yang ingin dicapai?
TAHAP PENGUASAAN MINIMUM
UPSR adalah kayu ukur untuk memastikan semua pelajar mencapai tahap penguasaan MINIMUM semua mata pelajaran sekolah rendah. Itulah falsafah dan matlamat asal mengapa UPSR dilaksanakan pada tahun 1988.
UPSR mengantikan Penilaian Darjah Lima.
Apa bezanya tujuan UPSR dan Penilaian Darjah Lima?
UPSR bertujuan untuk memastikan pencapaian MINIMA dicapai oleh semua murid-murid. Manakala Penilaian Darjah Lima pula untuk mengenal pasti dan memilih murid manakah yang mempunyai prestasi paling tinggi atau mudah cakap mencari murid manakah paling pandai.
Cantik tak tujuan asal UPSR?
Memang cantik.
Memang sesuai sekali dengan matlamat pendidikan sekolah rendah yang bertujuan memastikan semua murid menguasai pendidikan asas khususnya membaca, menulis dan mengira (3M).
Jadi dengan adanya UPSR, kita akan tahu adakah murid-murid sudah atau belum menguasai pengetahuan dan kemahiran asas sebelum mereka melangkah ke peringkat sekolah menengah.
Mungkin UPSR di Tahun Enam agak lewat. Sepatutnya boleh diawalkan. Jika panduan UNESCO dan OECD digunakan, pada umur 10 tahun kanak-kanak mestilah telah menguasai kemahiran 3M yang baik. Mungkin sebaiknya UPSR (jika diadakan semula) lebih sesuai pada Tahun Lima dengan mengambil kira kepelbagaian tahap keupayaan murid.
UPSR bukan (saya ulang...bukan) untuk mencari siapa yang paling pandai. Sebab itulah pengiktirafan murid untuk UPSR sepatutnya hanya TELAH MENCAPAI atau BELUM MENCAPAI sahaja. Konsepnya sama seperti ujian memandu.
UPSR tidak perlukan gred A, B, C, D atau E.
Dalam konsep asal UPSR, sesebuah sekolah akan diiktiraf bila peratus murid TELAH MENCAPAI adalah paling tinggi di sekolah tersebut. PPD juga diiktiraf bila peratus murid-murid di daerah tersebut TELAH MENCAPAI paling tinggi. Begitu juga juga dengan pengiktirafan pada JPN.
Itulah yang sepatutnya menjadi prinsip dan tujuan dilaksanakan UPSR pada tahun 1988.
Malangnya, dalam tempoh pelaksanaan selama 32 tahun (1988-2020), UPSR seperti kena 'hijack' bila telah menggunakan sistem gred A, B, C dan sebagainya.
Lebih memburukkan keadaan, diraikan pula murid-murid yang dapat semua A. Mereka dijulang sebagai murid paling pandai. Sedangkan UPSR bukan bertujuan mencari murid paling pandai pun. Murid-murid yang dapat gred B juga sebenarnya pandai dan telah menguasai tahap minimum.
Akhirnya tujuan dan konsep UPSR semakin 'menyeleweng' bila guru-guru, sekolah, PPD, JPN dan KPM berlumba-lumba meraikan murid-murid yang mendapat semua A. Puncanya? Kefahaman yang salah tentang tujuan UPSR.
Sehinggakan ada sekolah dan guru-guru wujudkan program kem UPSR dan teknik latih tubi menjawab UPSR. Tak terfikirkah kita anak-anak itu baru umur 12 tahun?
Ibu bapa pun 'ikut mengila'. Demi untuk dapat gred cemerlang atau semua A, anak-anak dikerah ke pusat tuisyen dan berbagai kelas tambahan.
Sedangkan kalau dapat semua A pun bukannya murid-murid nak dipilih untuk mula kerja atau dapat masuk universiti. Jauh sangat lagi perjalanan pendidikan mereka.
Sebab dah semakin jauh 'menyeleweng' dan 'mengila' untuk dapat semua A dalam UPSR, hingga anak-anak jadi stres dan terbeban, akhirnya UPSR dimansuhkan.
Saya antara orang yang paling awal mencadangkan dikaji semula UPSR pada tahun 2010. Saya sudah nampak kekhilafan cara UPSR dilaksanakan bila yang dikejar ialah gred A semata-mata, bukannya matlamat dan prinsip pendidikan sekolah rendah. Mengejar gred A semata-mata tidak membantu menjadikan pendidikan anak-anak lebih baik.
Bila difikirkan lebih mendalam, sebenarnya bukanlah salah UPSR yang asal. Tujuan dan idea asal UPSR 1988 dah cukup baik. Tapi sebab ada pihak yang menguruskan UPSR kemudiannya sudah 'salah faham', 'hilang hala tuju' sebenar UPSR akhirnya nampak seperti amalan UPSR itu tidak bagus. Yang sebenarnya terkhilaf ialah pihak pengurusan UPSR kerana mereka tidak memahami tujuan asal UPSR dilaksanakan.
Kemudian kekhilafan dan salah faham ini 'berjangkit' pada guru besar, guru-guru dan ibu bapa.
Sebenarnya kalau kita mahu kembali semula ke pangkal jalan, kaji semula dan melaksanakan UPSR sebagaimana tujuan asal 1988, UPSR adalah satu dasar pentaksiran pendidikan yang baik.
Sekurang-kurangnya sebelum masuk ke sekolah menengah, kita sudah tahu dengan jelas di manakah tahap sebenar pencapaian anak-anak kita.
Apa mata pelajaran yang anak-anak kita sudah capai dan mana pula mata pelajaran yang mereka belum capai?
Bila kita tahu kekurangan tahap penguasaan atau kemahiran anak-anak kita, bolehlah dibuat intervensi awal sebelum anak-anak ini mula belajar di sekolah menengah.
Sebenarnya saya kesian pada 'UPSR 1988' yang tak bersalah. Tak pasal pasal kena fitnah.
**Hantaran dipetik dari Facebook Anuar Ahmad yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)