‘Parenting Talk’ SEBARU bantu ibu bapa didik dan kendali anak-anak istimewa
‘Parenting Talk’ SEBARU bantu ibu bapa didik dan kendali anak-anak istimewa

‘Parenting Talk’ SEBARU bantu ibu bapa didik dan kendali anak-anak istimewa

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
26 Jul 2022 05:31pm

Dalam menyahut cabaran mentransformasikan minda para penjaga yang mempunyai anak-anak istimewa, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Bandar Baru (SEBARU) Kuala Selangor, Selangor telah mengorak langkah lebih efektif dengan menganjurkan ‘Parenting Talk on Special Education: Mendepani Cabaran Mendidik Anak-anak Istimewa’, baru-baru ini.

Program anjuran PPKI SEBARU dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SEBARU itu telah menjemput pakar dari universiti tempatan untuk berkongsi segala kepakaran dan maklumat mengenai cara berdepan dan mengendalikan murid-murid istimewa kepada ibu bapa dan penjaga yang hadir.

Penyelaras Program PPKI SEBARU, Cikgu SA Zahrah Ansurah Abd Rahman berkata, kolaborasi bersama pakar universiti tempatan ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Health and Wellbeing, SDG 4: Quality Education dan SDG 17 for Partnerships for the Goals.

“Pihak kami telah menjemput pakar dalam bidang Pendidikan Khas iaitu Datin Dr Rosilah Wahab untuk berkongsi pelbagai input terkini berkaitan anak-anak istimewa.

“Malah, beliau yang juga Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Terapi Carakerja, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor turut membuka peluang kepada peserta yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga untuk mengemukakan soalan bagi merungkai segala masalah yang mereka hadapi berkenaan anak-anak syurga tersebut,” kata Cikgu SA Zahrah Ansurah.

Sesi tersebut telah diadakan di bilik seminar SEBARU pada 23 Julai lalu dan dirasmikan Pengetua SEBARU, Nor Zakiah Daud.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pakar Psikologi Klinikal UiTM, Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Farezadi Zafry Jamhuri dan juga beberapa wakil PIBG sekolah.

Sementara itu, sesi temu mata bersama ibu bapa dan penjaga telah berjaya menonjolkan bakat murid Pendidikan Khas (kategori Disleksia), Nurin Aisyah Sufi Ahmad Zeferi dalam mempengerusikan majlis.

Kepetahan dan kebijaksanaan Nurin Aisyah ketika mengendalikan majlis tersebut menarik perhatian hadirin dan masing-masing melahirkan rasa kagum pada murid istimewa tersebut.

Dalam pada itu, Cikgu Nor Zakiah berharap sesi bertemu pakar ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan memohon supaya ibu bapa dapat memanfaatkan segala ilmu untuk kegunaan pada masa hadapan.

Seronok mengajar murid PPKI

Berkongsi sedikit pengalaman mengajar murid-murid PPKI, Guru Penolong Pendidikan Khas SEBARU, Cikgu Nik Amzaiful Nik Jait berkata, mengajar mereka pada zaman teknologi ini cukup mencabar.

“Guru memerlukan banyak peranti teknologi bagi menjadikn PdP murid PPKI lebih menarik dan memberikan keterujaan kepada mereka.

“Ini kerana, golongan berkenaan memerlukan pembelajaran ‘hands-on’ berbanding penekanan pada akademik semata-mata.

“Sepanjang menjadi guru PPKI, sejujurnya saya sangat seronok mengajar murid-murid ini. Mereka sangat unik dan kreatif sehingga mampu membuatkan pembelajaran lebih menarik dan bermakna,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

5 bahan untuk guru gunakan bagi kelas PPKI. Mudah dan senang dapat!

4 penyelidik bangunkan Modul STEM Covid-19, bantu guru laksana PdP di sekolah

10 tip mudah untuk cipta animasi dan aplikasi animasi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp