Kerajaan juga memastikan tiada lagi situasi pelajar terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet.
Kerajaan juga memastikan tiada lagi situasi pelajar terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet.

Pastikan liputan internet secukupnya buat pelajar - Ahmad Zahid

16 May 2024 03:39pm

Kerajaan akan memastikan kawasan berkepadatan rendah, desa dan pedalaman disediakan liputan internet yang secukupnya untuk memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga akan memastikan tiada lagi situasi pelajar terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet.

"Saya sudah beritahu Menteri Digital (Gobind Singh Deo), mulai akhir tahun ini sehingga seterusnya tidak ada lagi pelajar yang panjat pokok untuk dapatkan liputan kerana kita ada 5G.

"Kita ada 5G, maka hal ini kita akan terus buat coverage bagi kawasan pendudukan rendah, low density, agar dapat beri liputan terutamanya di kawasan Felda, desa, Orang Asli dan pedalaman wajib diberikan coverage secukupnya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 di Kuantan, Pahang pada Khamis.

Hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 8,104 makmal komputer di sekolah perlu dinaik taraf dan mampu digunakan sepenuhnya oleh guru dan murid sekolah dalam usaha memastikan Dasar Pendidikan Digital mencapai objektif yang digariskan.

"Saya pohon pihak kementerian (Kementerian Pendidikan) untuk jadikan perkara ini keutamaan agar kerja dan peranan para guru sebagai 'Jauhari Digital' dipermudahkan. Selain itu, saya turut dimaklumkan pembekalan peranti pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di makmal komputer telah kita laksanakan secara berfasa.

"Bermula dari tahun 2022 sehingga kini, ia telah memanfaatkan 11,220 sekolah dengan 213,014 unit komputer riba telah disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan berbincang bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) agar dana tambahan untuk pembekalan peranti ini dapat diluluskan seperti yang dipohon oleh pihak kementerian," katanya.

AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID

Beliau juga berkata akan turut berbincang dengan Perdana Menteri supaya Kementerian Pendidikan (KPM) akan diberikan bajet lebih tinggi dalam belanjawan akan datang berbanding sebelum ini sekitar RM58.7 bilion dalam Bajet 2024 dalam menyediakan peralatan pembelajaran mencukupi serta pelbagai inisiatif lain.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, negara yang ketika ini berada dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR), memerlukan sistem pendidikan yang melahirkan murid fasih teknologi digital agar mereka dapat dipersiapkan untuk bersaing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang selari dengan evolusi dunia digital.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, KPM perlu berupaya mengatur strategi untuk memastikan keupayaan teknologi digital menjadi sebahagian daripada tradisi budaya menimba ilmu dalam kalangan generasi Madani.

"Aspirasi negara Madani yang kita idamkan adalah sebuah negara yang berpengetahuan, berakhlak, dan progresif. Dalam hal ini, peranan guru amat penting. Pendidikan dan teknologi adalah kunci utama dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing dan harmoni.

"Justeru, tema Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani' ini amat bertepatan untuk menyokong Dasar Pendidikan Digital yang telah dilancarkan pada 28 Nov 2023 oleh Fadhlina Sidek bagi kita meningkatkan keupayaan pendidikan yang termaktub sebagai satu daripada tujuh Teras Utama KPM," kata Ahmad Zahid.

Seramai 3,000 warga pendidik dari seluruh negara menghadiri majlis sambutan tersebut dan pada majlis itu juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Sulaiman Wak diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024.

Tokoh Guru Kebangsaan 2024 pula dianugerahkan kepada bekas guru Sejarah Masariah Mispari yang kini Ketua Panel di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp