upsi3
upsi3

Pasukan C-19 Busters UPSI bantu cegah pandemik Covid-19

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Jul 2021 09:51pm
A
A
A

Tanjung Malim - Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pelbagai pihak termasuk warga kampus dan universiti malah penularan jangkitan kini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana jua.

Terkini terdapat banyak peningkatan kluster-kluster berkaitan di tempat kerja seperti kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan sektor perkhidmatan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sering mengingatkan majikan serta pekerja agar sentiasa bertanggungjawab dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat kerja.

Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Marinah Awang, berkata dalam usaha menyokong usaha kerajaan membendung penularan virus Covid-19, UPSI mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan khas yang diberi nama C-19 Busters UPSI.

Pasukan C-19 Busters UPSI bertanggungjawab menjalan sanitasi di dalam kampus.

Menurut beliau, rasional penubuhan pasukan C-19 Busters UPSI bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada staf UPSI untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu universiti menangani penularan Covid-19.

"Pasukan C-19 Busters UPSI yang terdiri daripada 17 orang sukarelawan dalam kalangan kakitangan UPSI sendiri bertanggungjawab melakukan proses sanitasi di sekitar kampus sebagai salah satu usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 di tempat kerja dan seterusnya jangkitan ke komuniti.

"Ia juga mengurangkan kos perbelanjaan UPSI kerana tidak perlu melantik agensi lain melakukan kerja-kerja sanitasi, malah pasukan C-19 Busters UPSI mempunyai kapasiti dan keupayaan yang sama untuk menjalankan tugas sanitasi pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Selain menjalankan kerja-kerja sanitasi, pasukan C-19 Busters UPSI juga boleh menjadi pakar rujuk sanitasi di masa hadapan serta menyumbang khidmat kesukarelawan kepada UPSI dan juga komuniti di luar kampus.

Jelas Dr Marinah lagi, penubuhan kumpulan itu dibuat selepas mengambil kira AKTA514 (Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) yang menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melindungi pekerja dan orang yang berada di premis kerja dengan menyediakan persekitaran kerja yang sihat serta selamat demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan petugas.

"Ia juga bertujuan mendidik ahli kumpulan berkenaan agar mempunyai sifat kerjasama antara pusat tanggungjawab seperti ROSH, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Bahagian Keselamatan dan Bahagian Pengangkutan," katanya.

UPSI menubuhkan pasukan C-19 Busters bagi menyokong usaha kerajaan dalam mengekang penularan virus Covid-19.

Tambah beliau lagi, pasukan C-19 Busters UPSI telah mendapat latihan secara berstruktur dengan memfokuskan kepada kemahiran pengendalian bahan kimia dan gerak kerja sanitasi daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim.

"Sanitasi pertama telah dijalankan dengan jayanya pada 16 Februari 2021 dengan mensasarkan kepada bangunan kolej yang menjadi tempat kuarantin pelajar kes positif Covid-19.

"Sehingga hari ini, pasukan C-19 Busters UPSI telah melakukan banyak gerak kerja proses sanitasi di dalam premis UPSI malah mereka juga banyak membantu ketika Aktikiti Pergerakan Penghantaran Balik Pelajar anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan melakukan sanitasi ke atas bas dan juga barang-barang pelajar.

Ujar Dr Marinah, tindakan pantas Pasukan C-19 Busters UPSI ini telah dapat mengurangkan kos operasi, masa dan kewangan sekali gus mengembalikan keyakinan dan menghilangkan kerisauan para pekerja untuk masuk ke tempat kerja masing-masing.

"Pihak pengurusan tertinggi UPSI amat bangga dengan inisiatif murni ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sanitasi, mempelbagaikan kemahiran tetapi juga dapat berbakti kepada seluruh warga UPSI.

"Syabas dan tahniah kepada ROSH dan para sukarelawan atas penubuhan Pasukan C-19 Busters UPSI," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok