Pasukan Wonder dari UTM diumum Juara Negara The 3M Inspire Challenge 2022

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
28 Oct 2022 04:35pm

Pertandingan The 3M Inspire Challenge 2022 yang diadakan secara dalam talian pada Khamis, menyaksikan pasukan Wonder dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diumum sebagai Juara Negara mengalahkan pasukan Civilianz (Universiti Putra Malaysia) dan pasukan Lesterra (Universiti Malaya).

Kemenangan pasukan Wonder yang dianggotai Sam Chua Chun Hong, 22; Lee Jia Ying, 22 dan Lim Kai Yi, 21 berjaya membawa pulang wang tunai RM9,400 dan peluang menjalani latihan industri di syarikat sains bertaraf global, 3M.

Menurut Chun Hong, dinobatkan sebagai Juara Negara sememangnya mengejutkan kerana mereka berhadapan saingan sengit daripada Civilianz dan Lesterra.

“Memang kami tak sangka akan menang dalam pertandingan hebat ini. Terima kasih kepada semua juri kerana memberi peluang kepada Wonder untuk bergelar Juara Negara,” ujarnya selaku Ketua Pasukan Wonder.

Mengulas lanjut mengenai ciptaan yang dihasilkan mereka sehingga muncul Juara Negara, Chun Hong berkata, ciptaan solusi berupa span yang mampu dibiodegradasi secara 100 peratus itu diinspirasikan melalui pemerhatian mereka terhadap kekerapan penggunaan span dalam setiap isi rumah di Malaysia.

“Kami lihat, span selalunya akan dilupuskan selepas dua minggu dan ia memberi impak negatif kepada alam sekitar. Dari situlah kami mula memikirkan cara mereka cipta span yang lebih mampan dengan mengaplikasikan pengetahuan sebagai mahasiswa kejuruteraan penyelidikan di UTM,” tuturnya lanjut.

Peserta The 3M Inspire Challenge 2022 bersama barisan juri selepas berakhirnya pertandingan tersebut, pada Khamis.

Sementara itu, kemenangan Wonder dalam pertandingan tersebut melayakkan mereka mara ke peringkat akhir serantau The 3M Inspire Challenge 2022 pada 15 November ini.

Wonder akan bersaing dengan beberapa pasukan dari negara Australia, New Zealand, India, Korea, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bagi merebut gelaran Juara Serantau dan hadiah wang tunai berjumlah RM23,600.

Pertandingan yang akan diadakan secara dalam talian itu membabitkan lima juri profesional iaitu Naib Presiden Kanan, Hal Ehwal Korporat Asia dan Pengarah Urusan, 3M Korea, Jim Falteisek; Pengarah Operasi R&D Korporat, 3M Asia, Balbir Blassey; Pengarah Operasi HR, Bahagian Sumber Manusia, 3M Asia & Wilayah China, Stella Huang; Pengarah TEBG, Bahagian Pusat Pemasaran, Asia, Mabel Low dan Ketua Operasi TCOE, 3M India, Jalaja Menon.

Kepada pasukan Wonder, kami, rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan kejayaan buat anda semua. Malaysia boleh!

INFO

1) Pasukan Civilianz dari UPM merangkul tempat kedua dengan ciptaan Sustainable Materials: The Mascherina Geotextiles.

2) Mereka dianggotai empat pelajar iaitu Alyssa Grace Jidon, 20; Aimi Khairina Sarai, 20; Pavinth Karnan, 20, dan Muhammad Nur Faiz Roslan, 23.

3) Pasukan Lesterra dari UM pula merangkul tempat ketiga dengan ciptaan Bio- Inspired Black Carbon Sensor (AirBC Sensor).

4) Pasukan tersebut dianggotai empat pelajar dari universiti tersebut iaitu Muhammad Eldy Fazmie Sarif, 23; Najla Safiya Mohd Asni, 20; Muhammad Imad Duddin Mohd Juffri, 21, dan Muhammad Sayyid Izzuddin Mohd Buhari, 20.

Artikel berkaitan 

SK Proton City berjaya pertahankan kejuaraan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen

Shakira Onie, juara cilik tanpa kasut dari pedalaman Sarawak

Sekolah Sultan Alam Shah muncul juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-47


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp