307299479_634380874725722_2630625503902641387_n
307299479_634380874725722_2630625503902641387_n

Sekolah Sultan Alam Shah muncul juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-47

Adlan Farhan Azwan
20 Sep 2022 06:33pm
A
A
A

Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-47 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, telah menyaksikan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya diumumkan sebagai juara kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Pertandingan akhir ini telah melibatkan pertembungan antara SAS dan Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) bagi kategori Bahasa Melayu manakala kategori Bahasa Inggeris pula disertai oleh SAS dan Kolej Tunku Kurshiah (TKC).

Kejayaan sekolah itu diserikan lagi apabila dua orang pembahas, Muhd Amin Nasiruddin dan Muhd Iman Syahmi Mizuan diangkat sebagai Pembahas Terbaik Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Pelajar dari SAS bersama guru pembimbing.

Bagi pertandingan edisi kali ini, sebanyak 70 buah sekolah berasrama penuh (SBP) serta Maktab Tentera Diraja (MTD) telah mengambil bahagian.

Dalam pada itu, turut hadir pada majlis pertandingan itu ialah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang melakukan perkongsian tentang aspirasi pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang mana terkandung di dalamnya 14 elemen atau nilai-nilai murni kehidupan.

Para peserta daripada SAS, ASIS dan TKC bergambar bersama Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Dalam konteks perbahasan, saya menyentuh tentang elemen Artikulasi iaitu hujahan yang berkualiti berasaskan kepada penguasaan ilmu, data dan fakta yang akan menjadikan setiap hujah menjadi lebih menarik dan difahami dengan jelas.

“Dalam konteks inovasi pendidikan, konsep debat ini boleh digunakan dalam kelas sebagai ‘thematic learning’ atau pendidikan berasaskan tema bagi membina kebolehan murid untuk memahami konsep dan tema yang menyumbang kepada keyakinan diri untuk berhujah,” katanya.

Sementara itu, beliau juga sempat memberi pesanan kepada semua anak-anak generasi pewaris negara supaya yakin dengan kebolehan masing-masing.

“Apa yang penting, fokus untuk terus bina kekuatan diri berdasarkan kelebihan yang ada kerana dengan adanya keyakinan, usaha dan tawakal, Insya-ALLAH, kekuatan tersebut dapat memberi manfaat yang lebih meluas,” tambahnya.

Artikel berkaitan

Cipta kejayaan berterusan, Dr Norazah buat rakyat Malaysia kagum dan bangga

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?

Rangkul naib johan dan pendebat terbaik, USIM kongsi tip kejayaan mereka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok