312626076_10221297036351494_1143672956219385405_n
312626076_10221297036351494_1143672956219385405_n

SK Proton City berjaya pertahankan kejuaraan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen

Adlan Farhan Azwan
25 Oct 2022 05:07pm
A
A
A

Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini telah menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City, Tanjung Malim, Perak diumum sebagai johan untuk dua tahun berturut-turut.

Pasukan itu dibarisi tiga pembahas utama iaitu Wan Ijlah Auji, Nur Hawa Batrisyia Mohd Nizam, dan Nur Ahlam Yamna Yuzaidi, masing-masing berumur 12 tahun serta pembahas simpanan pula dibarisi oleh Nursyifaa Amani Mohd Anuar, 12, dan Nur Lidya Altaf Yuzaidi, 10.

Para pelajar ini telah dibimbing enam guru pembimbing yang terdiri daripada Cikgu Ahmad Mustakim Supian, Cikgu Muhammad Aminul Khalil Zaini, Cikgu Siti Anurizah Abd Rais, Cikgu Sharifah Noor Adni Syed Ibrahim dan Cikgu Norhanini Nordin.

Menurut Cikgu Muhammad Aminul, kejayaan yang dicapai oleh pasukannya itu merupakan hasil daripada kegigihan dan sifat tidak mudah berputus asa yang dimiliki para guru serta murid-murid.

Murid-murid SK Proton City selaku pencadang membahaskan usul Kelestarian Alam Sekitar Membantu Kelangsungan Negara. Kredit foto: Facebook Khalil Zaini.

“Kami berdepan dengan pelbagai ujian salah satunya ialah seorang pembahas tarik diri kerana tidak berani beri komitmen dengan jadual latihan yang padat namun kami terpaksa menghormati keputusannya walaupun sedikit terkilan.

“Di samping itu, setiap guru juga memainkan peranan masing-masing sebagai contoh Cikgu Norhanini menguruskan hal surat-menyurat manakala Cikgu Sharifah Noor pula bertanggungjawab dalam penjagaan makan minum pasukan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pasukan Cikgu Muhammad Aminul turut berdepan dengan cabaran kemudahan penggunaan teknologi apabila pertandingan bahas peringkat negeri dilaksanakan secara dalam talian.

Jelasnya, dengan bantuan serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim dan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya memastikan sinar harapan untuk SK Proton City mempertahankan kejuaraan.

“Alhamdulillah, Perak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2022. Kami datang dengan status juara bertahan, kami pulang dengan status yang sama.

“Tahniah dan terima kasih untuk semua yang terlibat dalam penciptaan memori indah pasukan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen SK Proton City pada tahun ini,” jelas beliau.

Artikel berkaitan

UIAM, UM rangkul kejuaraan Debat Diraja IPT 2022

Persaingan sengit! Najmi Adli terkejut diumumkan johan deklamasi sajak

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan