No Image Caption

PDRM Jasin pastikan sekolah jadi tempat paling selamat

NOR FARHANA YAACOBNOR FARHANA YAACOB
17 Feb 2025 01:30pm

Kita sering dikongsikan dengan pelbagai kejadian pelik yang terjadi kepada murid-murid sepanjang minggu pertama sesi persekolahan.

Malah, timbul juga persoalan sama ada kawasan sekolah yang menjadi medan menimba ilmu itu terjamin keselamatannya buat murid, para guru dan warga sekolah.

Menyedari akan perkara itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jasin, Melaka melaksanakan inisiatif di semua sekolah dalam daerah tersebut pada tahun ini.

Ia bertujuan meningkatkan aktiviti pencegahan jenayah menerusi integrasi Kelab Pencegahan Jenayah, Kor Kadet Polis dan Duta Sahsiah Murid.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, inisiatif itu dalam usaha mencegah isu dan masalah displin serta penglibatan pelajar dengan jenayah, dadah dan trafik.

No Image Caption

Menurutnya, fokus juga diberikan dengan meningkatkan penyertaan komuniti menerusi permuafakatan antara PDRM, Pejabat Pendidikan Daerah Jasin dan agensi-agensi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini dapat menjadikan sekolah yang dikenalpasti sebagai sekolah angkat.

"Secara tidak langsung meningkatkan penyertaan serta pembabitan ibu bapa dalam proses pembentukan pelajar," katanya.

Terdahulu beliau berucap sempena Permuafakatan PDRM dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) program Hari Pertama di Sekolah (1st Day at School) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Hj Abdul Aziz Tapa.

Beliau berkata, kajian pelaksanaan untuk empat fokus itu juga akan dinilai bagi memastikan keberkesananya dengan memilih sekolah tersebut sebagai projek rintis inisiatif tersebut.

Katanya kerjasama yang bersistematik antara pihak sekolah, ibu bapa dan PDRM, dilihat mampu membendung isu salah laku sosial, dadah serta perlakuan jenayah.

"Tindakan ini perlu dilaksanakan secara kolektif antara pihak pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid.

"Penglibatan semua pihak termasuk komuniti merupakan ejen pemangkin kepada perubahan dan pembentukan generasi pada masa hadapan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata objektif program 1st Day at School itu adalah untuk mewujudkan rasa selamat dengan memberikan kepada murid, ibu bapa, dan guru bahawa keselamatan di sekolah adalah terjamin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp