Tiga pelajar yang wajar dijadikan contoh, dari kiri, Dr Amalina, Azali dan Nik Nur Madihah.
Tiga pelajar yang wajar dijadikan contoh, dari kiri, Dr Amalina, Azali dan Nik Nur Madihah.

Pelajar cemerlang SPM yang cetus fenomena

05 Jun 2024 01:24pm

Setiap tahun, kita akan disajikan dengan kejayaan para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan utama kebangsaan.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) misalnya, yang ditadbirkan secara berpusat dan ditaksir pada penghujung pendidikan menengah telah melahirkan ramai anak-anak Malaysia yang mendapat keputusan sangat cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Nama-nama seperti Nur Amalina Che Bakri atau Dr Amalina Bakri (2004), Azali Azlan (2007), Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal (2008) dan sebagainya, telah menjadi idola ramai pelajar hari ini.

Dr Amalina yang mencapai keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM 2004, pernah berkongsi rahsia kejayaan dalam media sosial miliknya.

Antara yang dilakukan oleh pelajar pintar ini adalah menghasilkan nota ringkas, melukis peta minda apabila mengulang kaji dan mempelajari tajuk baru, mewujudkan kata kunci, membuat banyak latihan berhubung sesuatu formula hingga terbiasa, ulang kaji di rumah secara berterusan dan banyak lagi.

Dr Amalina yang dilahirkan pada 7 Disember 1987 di Kota Bharu, Kelantan dan membesar di Johor Bahru, Johor merupakan anak tunggal pasangan Che Bakri Che Mod dan Sabariah Hassan.

Berdasarkan rekod, pencapaian beliau bukan calang-calang.

Antara yang pernah diraih adalah A-Level di The Cheitenham Ladies’ College, England dari 2005 hingga 2007; menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) di Universiti Edinburgh, Scotland dari 2007 hingga 2013; menuntut di Universiti Edinburgh, Scotland dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi dari 2009 hingga 2010; mengikuti Program Amgen European Scholars yang melibatkan kajian dalam bidang Farmakologi di Institut Karolinska, Sweden dari 2009 hingga 2010 dan lain-lain lagi.

Artikel Berkaitan:

Pelajar cemerlang seterusnya iaitu Azali dan memperoleh keputusan 20A1 dan 1A2 dalam SPM turut tidak ketinggalan berkongsi amalan kejayaan dalam SPM.

Katanya, dia mengamalkan sikap belajar dengan sabar di samping membina kekuatan dalaman dengan bertawakal kepada ALLAH bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

Kejayaan cemerlang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah itu secara tidak langsung memberi rezeki kepada beliau apabila dianugerahkan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Seterusnya, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal turut melakar sejarah apabila memperoleh 20A iaitu 19A1 dan 1A2 dalam SPM 2008.

Nik Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.

Dia turut mendapat 1A Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology (EST) dan meraih 1A2 dalam Biologi.

Dalam masa sama, bekas pelajar SMU (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Kelantan itu turut mendapat 10A1 dalam Sijil Menengah Ugama.

Berkongsi amalan yang dilakukan, pelajar bijak ini berkata, solat tengah malam, menghafal al-Quran, amalan puasa sunat Isnin dan Khamis, membanyakkan ibadah sunat, menjauhkan diri daripada riak, menggabungkan sistem pendidikan duniawi dan ukhrawi serta reda dengan ujian ALLAH adalah tip kejayaan.

Semoga rahsia kejayaan para pelajar ini menjadi motivasi kepada adik-adik untuk lebih berusaha dan berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan serta kehidupan, insya-ALLAH.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp