Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

Pelajar GiatMara wajib lancar al-Fatihah & jalani ujian fardhu ain

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Jan 2025 05:13pm

"Semua pelajar TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) GiatMara, saya minta untuk diwajibkan melalui ujian khas bacaan al-Fatihah dan Fardu Ain. Jika gagal, Mara (Majlis Amanah Rakyat) akan buat program khas intervensi pengukuhan fardu ain."

Demikian hantaran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook pada Khamis.

Beliau memaklumkan, perkara itu (lancar baca al-Fatihah dan duduki ujian fardhu ain) dibuat berikutan terdapat dalam kalangan pelajar institusi itu dikenal pasti lemah aspek agama.

"Mungkin perkara ini dipandang remeh sesetengah pihak tetapi daripada pengalaman para pegawai di sini, ada pelajar yang bacaan al-Fatihah mereka tunggang-langgang.

"Jika ada masalah membacanya (al-Fatihah), bagaimana ibadah asas solat nak disempurnakan dan ini belum lagi masuk aspek fardu ain dan bacaan al-Quran yang lain," tulisnya di platform itu.

Asyraf Wajdi berkata, sekiranya tahap pencapaian para pelajar TVET GiatMara tidak mencapai prestasi diharapkan, Mara akan menyediakan peruntukan khas bagi program intervensi berstruktur.

"Program intervensi ini akan dilaksanakan secara berstruktur bagi diintegrasikan dalam kurikulum dan silibus latihan kemahiran TVET.

"Contohnya, kelas kemahiran fardu ain khas termasuk pengajian al-Quran akan turut dilaksanakan di samping aspek latihan kemahiran mengikut program tertentu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, agenda TVET negara mesti diintegrasikan dengan elemen pembinaan jati diri dan kerohanian.

Ini kerana, mereka (Mara) tidak mahu sekadar melahirkan pekerja mahir sahaja sebaliknya mampu menghasilkan pekerja yang mempunyai jati diri, akal budi dan sahsiah terpuji di samping memperkasakan elemen keagamaan yang menjadi teras utama pembentukan jati diri.

"Mara akan terus mengambil tanggungjawab sebagai perintis dan peneraju program TVET yang memberi impak tinggi.

"Hal ini adalah untuk memastikan rancangan kerajaan untuk memartabatkan TVET akan tercapai," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp