Pelajar ini menghasilkan pelbagai kerusi awam
Pelajar ini menghasilkan pelbagai kerusi awam

Pelajar ini menghasilkan pelbagai kerusi awam

webadmin
31 Dec 2020 01:24am
A
A
A


KANGAR - Kekurangan kerusi awam di kawasan kampus Uniciti Alam, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini, membawa kepada idea menjadikan ia sebagai satu projek kepada pelajar.

Penyelaras program, Mohd. Haidiezul Jamal Abdul Hadi berkata, untuk semester kali ini, para pelajar diminta menghasilkan Street Furniture Bench yang unik dan kreatif dengan menggabungkan ilmu kejuruteraan dan rekaan produk.

Menurutnya, projek itu bukan sahaja memberi kemahiran dan kebolehan kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah, tetapi juga untuk memahami keperluan dan masalah projek serta kebolehan menghasilkan keluaran produk dua dimensi iaitu lakaran bebas sebelum mula membina reka bentuk masing-masing.

"Hasilnya amat mengujakan dan di luar jangkaan kami (tenaga pengajar) apabila 22 reka bentuk kerusi dengan pelbagai konsep dan elemen kreatif berjaya dihasilkan oleh para pelajar," ujar beliau ketika ditemui, di sini, semalam.

Sebagai menghargai para pelajar, kesemua 22 rekaan tersebut kini dipamerkan di Ruang Pameran Studio Bangunan S4, Makmal FTK di Kampus Uniciti Alam.

Bagi Norhaiza Natasya Mokhtar, 21, projek yang diberikan oleh pensyarah bagi kursus Pembangunan Produk bukan sahaja melatihnya menjadi kreatif sebaliknya turut memahirkannya dengan peralatan dan aktiviti pertukangan.

“Selain asas rekaan produk dan peralatan, kami juga perlu memastikan setiap rekaan adalah ergonomik untuk kegunaan masyarakat keseluruhannya,” jelasnya.

Sementara itu, Nazmeemran Musa, 21, pelajar tahun 2 berkata, beliau dan rakan mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan produk mereka, Aluminio Bench.

Menurutnya, produk itu mengetengahkan rekaan moden kontemporari dan dibuat menggunakan gabungan kayu untuk bahagian tempat duduk dan logam sebagai alat sokongan tempat duduk.

"Bentuk kerusi ini diambil daripada bentuk boomerang iaitu sejenis senjata lempar berbentuk melengkung manakala besi yang menyokong tempat duduk pula mengambil inspirasi dari abjad Y," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok