Pelajar jatuh sekolah alami tekanan, kemurungan dan bukan buli
Siasatan awal insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah di George Town pada Isnin, tiada kaitan dengan perbuatan buli.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, dipercayai remaja berusia 14 tahun itu mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata JPN Pulau Pinang bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut.
"Berdasarkan siasatan awal, pelajar perempuan itu dipercayai mengalami tekanan emosi dan dia dalam keadaan begitu (telah ada kemurungan). Maksudnya memang telah ada unsur tekanan emosi sebelum kejadian ini berlaku dan tiada unsur buli dalam kes ini.
"Selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu, pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus berada di lokasi kejadian untuk menenangkan warga sekolah," katanya kepada pemberita, Selasa.
Dalam kejadian jam 5.57 petang itu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah persedirian di Jelutong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad sebelum ini berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan siasatan polis di tempat kejadian serta pemeriksaan terhadap badan si mati mendapati tiada unsur jenayah.
Abdul Rozak menerusi kenyataan memakumkan polis turut menemukan satu nota yang dipercayai ditinggalkan oleh pelajar perempuan itu di lokasi kejadian yang menyatakan mangsa tertekan dalam pelajarannya.
Katanya nota itu dipercayai ditulis oleh mangsa dan setakat ini polis masih menunggu laporan bedah siasat yang sedang dijalankan ke atas mayat remaja tersebut.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah menghantar pakar psikologi ke sekolah berkenaan pagi ini.
Katanya tindakan segera itu diambil bagi memberikan bantuan dari segi psikologi kepada guru dan pelajar yang mungkin dalam keadaan terkejut serta trauma dengan peristiwa malang itu.
''Pakar psikologi ini akan berada di sekolah tersebut untuk mengawasi serta memantau keadaan pelajar yang memerlukan bantuan dari segi kesihatan mental mereka,'' katanya. - Bernama