22 pelajar SMK Guntong mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan selepas bersarapan di dewan makan sebuah resort.
22 pelajar SMK Guntong mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan selepas bersarapan di dewan makan sebuah resort.

22 pelajar SMK Guntong alami keracunan makanan

NURFARDLINA IZZATI MOKTARNURFARDLINA IZZATI MOKTAR
08 Nov 2024 01:01pm

Seramai 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong, Setiu, Terengganu mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan selepas bersarapan di dewan makan sebuah resort pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian melibatkan 48 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang mengikuti Kem Anakku Cemerlang di resort berkenaan.

"Kesemua pelajar itu telah bersarapan secara layan diri yang telah disediakan oleh pengusaha dewan makan di resort berkenaan pada jam 8 pagi.

"Bagaimanapun sejam kemudian, lapan orang pelajar telah mengadu sakit perut dan muntah-muntah. Susulan itu, pelajar yang sakit telah dibawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Jumlah pelajar yang mengadu sakit perut pula telah bertambah seramai dua orang dan mereka telah dihantar ke Klinik Kesihatan Permaisuri oleh guru terlibat," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Setiu telah hadir ke resort itu untuk bertemu dengan semua peserta kem SPM bagi mendapatkan maklumat berhubung kes keracunan berkenaan.

"Tidak lama kemudian, 12 orang pelajar lagi turut mengalami simptom keracunan.

"Sehingga jam 2 petang Khamis, seramai 10 pelajar menerima rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

"Hanya seorang pelajar telah dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan susulan manakala sembilan orang murid telah dibenarkan pulang," jelas beliau.

Jelani berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Setiu sudah datang ke resort berkenaan bagi membuat pemeriksaan dan mengambil sampel berkaitan kejadian tersebut.

"Sebarang keputusan lanjut bergantung kepada siasatan daripada pejabat kesihatan berkenaan," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp