Pasangan kembar KMB, Aisyah Ilmina (kiri) dan Aisyah Ilmuna (kanan) telah mendapat mata penuh, 45/45 dalam program Diploma IB Mei 2024.
Pasangan kembar KMB, Aisyah Ilmina (kiri) dan Aisyah Ilmuna (kanan) telah mendapat mata penuh, 45/45 dalam program Diploma IB Mei 2024.

Pelajar Kolej MARA Banting cemerlang peperiksaan International Baccalaureate

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jul 2024 02:10pm

Kolej MARA Banting (KMB), Selangor sentiasa melahirkan kelompok pelajar yang berjaya meraih kejayaan luar biasa dalam peperiksaan International Baccalaureate (IB).

Terbaharu, pasangan kembar KMB, Aisyah Ilmina Ismail dan Aisyah Ilmuna Ismail telah mencapai keputusan cemerlang dengan mendapat mata penuh, 45/45 dalam program Diploma IB Mei 2024.

KMB yang diiktiraf antara kolej IB terbaik dunia juga pernah mencipta sejarah sebelum ini menerusi kejayaan Sofea Alisya Muhammad Khaidzir yang mencapai skor sempurna 45/45 Mei 2023.

Berikutan pencapaian cemerlang tiga pelajar KMB itu, Sinar Bestari kongsikan fakta penting mengenai latar belakang IB sebagai sumber rujukan para pelajar.

Menurut portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), IB adalah program peringkat diploma atau prauniversiti yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Program ini dijalankan dalam tempoh dua tahun iaitu empat semester.

Diploma IB merupakan kelayakan yang boleh diterima pakai bagi kemasukan ke program ijazah sarjana muda dalam dan luar negara.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Ia dilaksanakan di The Malay College Kuala Kangsar, Perak pada tahun 2011 dan di Kolej Tunku Kurshiah pada 2016.

KPM berperanan menyelaras pengoperasian program Diploma IB di sekolah KPM.

Manakala International Baccalaureate Organization (IBO) yang berpusat di Geneva, Switzerland bertindak sebagai badan menggubal dasar, kurikulum, penaksiran dan mengawal kualiti pelaksanaan program.

Pelaksanaan program Diploma IB telah diluluskan dalam Mesyuarat Profesional KPM Bilangan 1/2009 bertarikh 7 Januari 2009 dan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPM Bilangan 9/2009, 24 Jun 2009.

Bagi sekolah yang terpilih melaksanakan program Diploma IB, mereka perlu melalui proses pengiktirafan IB berpandukan Guide to School Authorization: Diploma Programme.

Terdapat beberapa tujuan ia dilaksanakan di sekolah KPM, antaranya adalah:

1) Membangunkan modal insan berkepimpinan utuh

Sejajar dengan hasrat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 bagi membangunkan modal insan yang berkepimpinan utuh dan berketerampilan unggul.

No Image Caption

2) Pengiktirafan antarabangsa

Program ini amat bertepatan dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang berhasrat memartabatkan sistem pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Seterusnya, pengurusan pelajar bagi program Diploma IB melibatkan perkara-perkara seperti:

1) Pemilihan pelajar

Pelajar yang ditawarkan ke Diploma IB perlu memenuhi semua syarat kemasukan program yang ditetapkan oleh sekolah.

2) Pembiayaan pengajian

Mereka yang ditawarkan perlu membiayai kos pengajian melalui penajaan sama ada oleh kerajaan, swasta, badan berkanun atau persendirian.

No Image Caption

3) Sahsiah pelajar

Pelajar tertakluk kepada peraturan dan disiplin sekolah.

Dalam pada itu, program Diploma IB menawarkan kursus meliputi 20 minggu setiap semester (dua tahun pengajian, empat semester).

Sebagai contoh, agihan bagi satu semester adalah 17 minggu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), seminggu persediaan dan dua minggu peperiksaan.

Manakala, penawaran mata pelajaran pula adalah berdasarkan permintaan pelajar, kepakaran guru dan kemudahan sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp