Pelajar OKU pertuturan jadi 'tok jogho' dikir barat

08 Feb 2024 02:09pm

Pelajar kelas pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot, Terengganu mengetepikan kekurangan yang ada pada diri dengan menyerlahkan potensi dan bakat melalui penyertaan dalam aktiviti dikir barat.

Muhammad Rafie Rosli, 18, yang mengalami masalah komunikasi (pertuturan dan bahasa) diberikan kepercayaan menjadi tok jogho atau tukang karut bagi mengemudi pasukannya pada program terapi dikir barat yang diadakan selama lima bulan bermula 24 Ogos 2023 sehingga 31 Januari lalu.

Menurut Muhammad Rafie, dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk terlibat dalam bengkel tersebut serta dapat menonjolkan bakat yang ada dalam dirinya.

“Selain dapat mencungkil bakat saya bersama rakan-rakan, bengkel ini dapat menghilangkan tekanan disebabkan beberapa faktor akibat ketidakupayaan yang dialami.

“Saya harap pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dapat mengadakan lagi aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan golongan seperti kami,” katanya yang turut mengalami masalah gangguan emosi dan tingkah laku.

Selain Muhammad Rafie, turut berperanan sebagai tok jogho ialah Muhammad Danish Asyraaf Mohd Yusuff, 17.

Seramai 20 pelajar berusia 14 hingga 18 tahun dan empat guru pengiring dari SMK Kompleks Mengabang Telipot, Wakaf Tengah di sini, terlibat dalam bengkel yang dikendalikan di bawah bimbingan ketua projek, Dr Azlina Musa.

Bengkel berkenaan dianjurkan oleh UMT melalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) serta Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar dengan kerjasama SMK Kompleks Mengabang Telipot.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azlina, objektif pelaksanaan bengkel tersebut sebagai terapi diri dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar pendidikan khas dalam aspek teori dan praktikal menerusi aktiviti kebudayaan itu.

Muhammad Rafie menerima sijil penyertaan dan hadiah disampaikan oleh Suriati sempena majlis penutup bengkel di Dataran Kompleks Sanggar Siswa, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMT, Kuala Nerus.
Muhammad Rafie menerima sijil penyertaan dan hadiah disampaikan oleh Suriati sempena majlis penutup bengkel di Dataran Kompleks Sanggar Siswa, Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMT, Kuala Nerus.

Pupuk keyakinan diri

Selain itu, katanya, ia dapat memupuk keyakinan diri golongan itu setiap kali berdepan dengan masyarakat, kesamarataan dalam pendidikan serta menggarap generasi masa depan yang menghargai kesenian tradisional. “

Bengkel ini dapat menghilangkan perasaan rendah diri pelajar pendidikan khas apabila berada bersama-sama dengan masyarakat di samping dapat memberi peluang pendidikan yang sama rata kepada mereka.

“Rata-rata peserta ialah mereka yang mengalami masalah kecacatan mental, masalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi, hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas,” katanya di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pegawai Pusat Kebudayaan dan Kesenian UMT, Suriati Khalid berkata, kolaborasi antara pelajar pendidikan khas SMK Kompleks Mengabang Telipot dan UMT merupakan inisiatif bagi mengukuhkan kecemerlangan pendidikan negara.

Katanya, bengkel ini juga merangkumi kursus dikir barat yang akan memberikan sijil kepada peserta yang bukan sahaja merupakan pengiktirafan tetapi juga aset yang boleh memperkukuhkan portfolio profesional peserta yang terlibat.

“Bengkel seumpama ini akan melahirkan peserta yang memiliki kompetensi lebih mendalam dalam aspek teori dan praktikal sekali gus dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran sepanjang hayat.

“Penganjuran persembahan dikir barat dapat mencapai bidang keupayaan sebagai seni hiburan yang mampu dipersembahkan oleh pelajar pendidikan khas,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp