
Pelajar perlu buat aku janji anti buli 6 bulan sekali
Merak Jalanan puji Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang tegas terhadap perbuatan buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Beliau sudah berulang kali menyebut mantera ‘You Touch You Go’ yang menyebabkan mana-mana pelajar terlibat dalam kes tersebut boleh dibuang daripada institusi pengajian berprestij itu.
Kalimat amaran sama juga pernah disebut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tetapi ia ditujukan kepada guru atau kakitangan sekolah yang terbabit dalam gangguan seksual terhadap murid.
MRSM sebuah institusi pendidikan yang menjadi impian, bukan sahaja pelajar malah ibu bapa mahu anak mereka mendapat pendidikan di situ.
Tahun lalu sahaja, seramai 104,000 pelajar telah memohon untuk memasuki MRSM tetapi hanya 8,909 pelajar berjaya memasuki institusi tersebut.
Ramai berebut nak masuk MRSM kerana mempercayai sistem pendidikan disediakan bagus untuk masa depan pelajar.
Jadi, mereka yang diterima masuk ke MRSM kenalah bersyukur kerana jadi insan terpilih untuk melanjutkan pelajaran dan jadi orang berjaya pada masa depan.
Malangnya, ada segelintir pelajar lupa diri dan tidak sedar dengan perbuatan mereka.
Video tular yang memaparkan seorang pelajar dibuli di MRSM Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada pertengahan tahun lalu perlu jadi pengajaran.
Ekoran daripada itu, jawatankuasa disiplin MRSM mengesyorkan tujuh pelajar terlibat dalam kes itu ditamatkan pengajian dan tiada rayuan akan dilayan.
Jadi Merak Jalanan hendak cadangkan semua pelajar baharu supaya menandatangani aku janji untuk tidak melakukan buli.
Pelajar-pelajar perlu memperbaharui ikrar mereka setiap enam bulan sekali.
Biar dalam kepala mereka terus terpasak kalimat 'You Touch You Go' yang akhirnya akan menyebabkan hati ibu bapa mereka terluka jika mereka dibuang sekolah.