tanjong
tanjong

Pelajar sekolah dan mahasiswa bergandingan menjayakan watak utama Teater Tanjong

Norliza Wasilan
04 Aug 2022 03:37pm
A
A
A

Usia bukan penghalang pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menggilap bakat menjadi tonggak utama pementasan Teater Tanjong di Istana Budaya.

Berasal dari Kuala Pilah, Sufi Sufea Md Fadhil, 15, yang memegang watak sebagai Tanjong kini giat menjalani latihan bersama barisan pelakon lain meskipun terpaksa bijak membahagi masa dengan waktu persekolahan.

Mengakui berdebar menanti tarikh berlangsungnya pementasan teater pada 9 hingga 11 September ini, dia melakukan latihan kendiri secara intensif dari segi emosi, fizikal dan emosi .

“Latihan dilakukan pada hujung minggu saja bersama pengarah dan barisan pelakon lain bagi membolehkan saya bersekolah seperti biasa.

“Tip saya supaya dapat seimbangkan antara waktu persekolahan dengan pementasan ialah sentiasa komited dengan masa, mana-mana tarikh penting perlu diberi perhatian untuk mengelakkannya bertembung antara waktu kelas dan latihan,” ujarnya yang cukup meminati pengarah dan pelakon tersohor, Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Sufi Sufea membawa watak Tanjong

Mengulas lanjut, ujarnya, ketika era pendemik, dia mengikuti kelas secara dalam talian bersama Fauziah untuk mengasah bakatnya lagi.

“Beliau adalah idola, bakatnya yang cukup besar dan terkenal dalam bidang seni dan pengarahan menjadikan saya mahu sepertinya”, ujarnya yang cukup berbesar hati dapat belajar selok belok lakonan bersama tokoh itu.

Teater Tanjong merupakan karya anjuran Kelab Teater (Anak Seni Ahmad Rashidi) ASAR Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Negeri Sembilan yang disokong Mycreative, Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) dan juga Pakej Rancangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA).

Kelab berkenaan telah dianugerahkan Geran Padanan Seni dan Budaya sehingga membolehkannya menjayakan persembahan pentas di Istana Budaya.

Dibarisi sebahagian besar pelakon remaja dan kanak-kanak yang masih menuntut di menara gading, sekolah rendah dan menengah, Dr Ahmadrashidi Hassan yang juga sutradara ingin melihat naskah itu diangkat bagi mendidik masyarakat mengenai adat perpatih.

Teater ini turut dibintangi pelakon handalan, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Datuk Perdana Andika manakala Kartunis Ujang serta penyanyi legenda Negeri Sembilan, Along Bakar sebagai pelakon undangan.

Khairul Zamir membawa watak lelaki utama iaitu Anjang

Sementara itu, mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Seremban 3, Khairul Zamir Ahmadrashidi, 19, yang memegang watak utama lelaki iaitu Anjang dalam teater itu, melahirkan keterujaannya dapat beraksi di pentas berprestij itu.

Dia yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang pentadbiran awam mengakui perlu bijak dan sistematik dalam membahagikan tugasnya sebagai penuntut, pada masa sama menjalani latihan pementasan.

“Saya sentiasa berbincang dengan pengarah yang juga ayah saya supaya masa latihan dapat disesuaikan dengan waktu kuliah agar tidak menjejaskan tanggungjawab hakiki sebagai penuntut di UiTM.

“Oleh itu, kami mencapai kata sepakat supaya sesi latihan dapat diadakan setiap hujung minggu seperti dirancangkan tanpa menjejaskan mana-mana pihak yang turut sama menjayakan teater ini,” ujarnya yang cukup meminati pelakon Indonesia, Reza Rahadian.

Mengulas lanjut, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Samad ini berkata, disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang itu, dia perlu bijak mencari masa lapang pada waktu malam untuk berlatih seperti menghafal skrip.

Selain itu, dia juga menghargai sokongan serta galakan yang diberikan oleh ibu dan bapanya dalam bidang berkenaan meskipun masih bergelar penuntut.

“Mereka banyak berkorban malah sanggup menghantar saya ke kelas vokal kerana pementasan teater Tanjong ini memerlukan saya menyanyi,” ujarnya.

Sementara itu, penerbit teater berkenaan, Norsyuhada Ahmadrashidi pula berkata, antara tujuan utama pementasan itu diadakan adalah untuk mendekatkan belia dengan aktiviti kesenian.

“Ini adalah wadah buat remaja dan kanak-kanak dalam komuniti ASAR melakukan aktiviti bermanfaat, menyemai minat melakukan aktiviti keseniaan dan membentuk keyakinan diri.

“Malah, sebahagian keuntungan daripada teater ini juga akan disalurkan bagi membantu keluarga dan pendidikan anak-anak ASAR sendiri,” katanya.

 

Artikel berkaitan

Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!

Kempen RM1 tersenarai dalam Malaysian Book of Records, kumpul dana bantu OKU, B40 sambung belajar

Guru dan pelajar, berikut 4 tip hafal al-Quran yang boleh anda amalkan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok