kempen rm1
kempen rm1

Kempen RM1 tersenarai dalam Malaysian Book of Records, kumpul dana bantu OKU, B40 sambung belajar

Rasyidah Zulkifi
03 Aug 2022 04:15pm
A
A
A

Kempen Mengumpul Dana RM1 Seumur Hidup (RM1 for Life Fundraising Campaign) yang dilancarkan oleh 12 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) pada 11 Jun hingga 10 Julai lalu, kini tersenarai dalam Malaysian Book of Records (MBR).

Pengiktirafan itu diberikan kerana kumpulan pelajar yang dikenali sebagai Mastermind ini berjaya membuat kutipan berjumlah RM23,000 dari 2,763 penderma termasuk 500 dari luar negara dalam tempoh sebulan.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu orang kurang upaya (OKU) dan calon pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian tinggi di UKM.

Ketua projeknya, Low Kian Seng berkata, hasil sumbangan daripada kempen ini juga bakal digunakan untuk membeli komputer riba bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan pendidikan mereka di universiti.

"Antara kriteria yang kami tetapkan, calon itu adalah warganegara Malaysia, berumur tidak lebih 22 tahun dan daripada golongan B40.

"Paling utama mereka adalah pelajar sarjana muda yang sedang melanjutkan pengajian di UKM dalam mod sepenuh masa.

"Nilai biasiswa maksimum yang ditawarkan pula tidak melebihi RM15,000 dan ini tidak termasuk elaun makan, kos sara hidup serta penginapan," katanya.

Menurut Ketua Pengumpul Dana, Suresh Kumar, RM1 dipilih kerana jumlah itu kecil dan tidak membebankan penderma.

Tambahnya, selain rakyat Malaysia, warga China, Amerika Syarikat, Korea, Hong Kong dan Singapura juga menderma dalam kempen tersebut.

Ujarnya, semua ahli kumpulan meminta sumbangan beberapa unit komputer riba dari mana-mana syarikat yang berminat untuk membantu.

"Kami beruntung kerana Malaysian Association of Science, Engineering and Technology (MASET) sudi menyumbang 10 unit komputer riba yang bernilai RM15,000 kesemuanya," tuturnya lanjut.

Sementara itu, Penyelia Projek, Profesor Dr Khairul Anuar Mohd Ali, berkata, pada mulanya teragak-agak mengenai idea projek tersebut kerana tempoh kempen itu berlangsung dalam jangka masa pendek.

“Tidak dinafikan saya berasa risau, tetapi dengan semangat dan kerjasama erat sesama ahli kumpulan, akhirnya mereka berjaya mencapai target yang disasarkan.

"Menerusi kejayaan ini memperlihatkan mereka dapat mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari dan mampu bekerja dalam satu pasukan dengan baik.

"Mereka juga mampu menggunakan skil, pengalaman dan rangkaian yang mereka ada bagi menjayakan kempen ini. Tahniah saya ucapkan," katanya.

Artikel berkaitan

Inisiatif WEZAS UPSI salur bantuan RM1.2 juta kepada pelajar B40

785 murid sertai Kempen Minggu Gigi Sihat 2022

Pelajar UPM kumpul dana bantu golongan OKU


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok