VICTOR NGOW
VICTOR NGOW

Pelajar serba boleh Victor Ngow menuju ke Harvard

16 Aug 2024 02:59pm

Victor Ngow, pelajar cemerlang Cambridge A Level (CAL) dari Taylor’s College dijadualkan menyertai kelas Harvard 2028 pada akhir bulan ini.

Victor merupakan salah seorang daripada empat pelajar Malaysia yang diterima masuk ke kelas Harvard 2028 pada bulan Mac, setelah berjaya menempuh saingan sengit bersama lebih 54,000 pemohon di seluruh dunia.

Victor, 20, menerusi satu kenyataan kepada Sinar Bestari mengakui masih mengingati momen dirinya menerima e-mel penerimaan itu.

“Pada masa itu, saya bersama rakan serumah dan ia merupakan saat yang sangat mengharukan untuk dikongsi bersama mereka.

"Saya seolah-olah bermimpi apabila menyedari diterima masuk ke Harvard College dan mendapat peluang belajar di luar negara seperti kakak-kakak saya,” menurutnya baru-baru ini.

Kegigihan dan dedikasi Victor membuahkan hasil dengan penerimaannya ke Harvard College yang mana ia pencapaian luar biasa memandangkan pelajar antarabangsa hanya merangkumi 15.4 peratus daripada keseluruhan pelajar di sana.

Victor juga diterima masuk ke Universiti Stanford, menyertai sekelompok elit pelajar Malaysia yang berjaya memasuki institusi berprestij ini.

Namun, akhirnya memilih Harvard College kerana tertarik dengan peluang akademik yang selaras dengan minat dan kecenderungan akademiknya yang belum diterokai sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin memanfaatkan masa di Harvard sebaik mungkin. Fleksibiliti sistem pendidikan Amerika Syarikat (AS) membolehkan saya menggabung minat dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan Ekonomi,” kata Victor dengan penuh semangat.

Untuk rekod, sepanjang di peringkat prauniversiti, Victor mengambil subjek Ekonomi, Fizik, Kimia dan Matematik.

Victor (depan, kanan) suka menghabiskan masa lapangnya dengan aktiviti berfaedah seperti sukan bersama rakan-rakan.
Victor (depan, kanan) suka menghabiskan masa lapangnya dengan aktiviti berfaedah seperti sukan bersama rakan-rakan.

Aktif kelab dan sukan

Selain keputusan akademik yang cemerlang, Victor juga aktif dalam aktiviti kokurikulum dan memegang peranan kepimpinan dalam Kelab Debat, TEDxTaylor’s University dan Kelab Taekwondo, berkhidmat sebagai bendahari dan pegawai ekuiti, pengurus kewangan serta ketua pemasaran dalam kelab-kelab itu.

“Penglibatan dalam kelab-kelab ini membolehkan saya membangunkan kemahiran kepimpinan dan organisasi.

“Setiap peranan mengajar saya sesuatu yang baru tentang diri dan kemampuan serta mendorong untuk melebihi jangkaan saya," katanya.

Victor juga memperhalusi kemahiran berucap sebagai pengacara majlis dengan mengacarakan lebih daripada 175 acara.

Gaya karismatik dan lucunya memikat penonton, menjadikannya seorang pengacara yang dicari.

“Mengacara mengajar saya bagaimana saya boleh menarik perhatian penonton secara efektif. Maklum balas yang saya terima adalah berharga untuk penambahbaikan berterusan.

“Ia adalah tentang berhubung dengan orang ramai, memahami emosi mereka dan menyampaikan mesej yang berkesan," katanya.

No Image Caption

Pengalaman-pengalaman itu bukan sahaja memaparkan Victor sebagai calon yang luar biasa untuk Harvard College tetapi juga sebagai kesiagaan untuk perjalanan yang akan datang.

“Pengalaman-pengalaman ini bukan sahaja mengasah minat akademik dan membekalkan saya dengan kemahiran penting untuk bidang pilihan tetapi juga membolehkan kita mengembangkan kecekapan budaya, kemahiran sosial dan kebolehsuaian yang diperlukan untuk berjaya di AS,” kongsinya.

Victor berasa teruja dan nostalgik, kerana ini adalah perjalanan panjang pertamanya ke luar negara secara bersendirian.

"Meninggalkan tanah air buat kali pertama adalah pengalaman yang mendebarkan dan merupakan satu cabaran. Pengalaman kolej saya bukan sahaja mempersiapkan saya dari segi akademik tetapi juga memberi saya keyakinan untuk mengemudi dan menerima budaya baru. Saya bersyukur atas sokongan dan landasan yang telah membentuk saya menjadi siapa saya hari ini,” ujar Victor yang juga merupakan penerima biasiswa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp