Shamsudin ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah pada Selasa.
Shamsudin ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah pada Selasa.

Pelajar Tingkatan Empat maut ditikam, polis rampas dua senjata tajam

MUHAMMAD AFHAM RAMLIMUHAMMAD AFHAM RAMLI
14 Oct 2025 02:26pm

Polis merampas dua senjata tajam yang disyaki digunakan dalam kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan sebelum disedari seorang guru yang mendengar bunyi jeritan.

Menurutnya, polis yang dikejarkan ke lokasi telah menahan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

"Kita telah merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah terbabit pada Selasa.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan jenis senjata tajam itu kerana ia memerlukan pengesahan lanjut.

Shamsudin berkata, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan.

"Suspek telah ditahan dan akan direman esok (Rabu) di Mahkamah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, tiada pelajar lain yang dilaporkan cedera atau menjadi mangsa dalam kes tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan mendapati penjaga serta ibu bapa pelajar lain memenuhi kawasan hadapan pintu pagar sekolah bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai insiden itu.

 

 

Ringkasan AI

  • Polis merampas dua senjata tajam yang disyaki digunakan dalam kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama
  • Kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 pagi di kawasan tandas pelajar perempuan dan disedari seorang guru mendengar bunyi jeritan
  • Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua berusia 14 tahun ditahan kerana disyaki terlibat
  • Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat
  • Motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp