um3
um3

Pelajar UM bantu anak yatim dan asnaf, anjur program belajar bahasa Inggeris di masjid

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Apr 2022 02:46pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) dari jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) mengambil inisiatif membantu anak yatim dan asnaf dengan menjalankan program bahasa Inggeris secara kreatif di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya.

Program mingguan yang diadakan pada setiap hari Sabtu ini dinamakan PEARL4PJ dan merupakan kesinambungan kepada siri program PEARL yang diasaskan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan UM, Profesor Madya Dr Adelina Asmawi, sejak 2018.

Seramai 20 orang anak-anak yatim dan asnaf dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dato Harun 1, Petaling Jaya telah dipilih untuk menjadi peserta program PEARL4PJ yang turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dengan bantuan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa jurusan TESL, aktiviti program kali ini berfokus kepada penggunaan aplikasi telefon pintar, iPad, dan modul pengajaran bahasa Inggeris PEARL.

Menurut Adelina, Program PEARL memfokuskan kepada aktiviti bahasa Inggeris yang santai dan menyeronokkan, direka bentuk khusus untuk murid-murid sekolah daripada golongan miskin bandar.

"Modul pengajaran yang digunakan melibatkan aktiviti berkumpulan, termasuklah lakonan teater dan persembahan pentas, adalah hasil penyelidikan teknik pengajaran oleh saya sendiri.

"Program PEARL yang pertama telah diadakan di Masjid Mutiara Damansara, manakala program kedua di dewan terbuka SK Lembah Subang tetapi pandemik Covid-19 yang berlaku ketika pelaksanaan program PEARL kedua telah memaksa penukaran lokasi program ke dalam talian.

“Perubahan lokasi ini juga telah memberi peluang kepada kami untuk menambah baik kandungan modul dan kaedah pelaksanaan aktiviti. Pelbagai input daripada sukarelawan dan peserta sendiri telah diambil kira dan hasilnya kini digunakan untuk pelaksanaan PEARL4PJ, siri program PEARL yang ketiga,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, mahasiswa UM yang juga Ketua Sukarelawan PEARL4PJ, Hafizah Nazirah Pirdaus berkata, antara pendekatan yang digunakan dalam mengajar bahasa Inggeris kepada peserta ialah menerusi permainan bahasa, penggunaan boneka (puppetry), lagu dan persembahan sketsa di pentas.

"Kami juga mendedahkan peserta kepada aplikasi seperti Canva untuk penghasilan kandungan media sosial yang kreatif dan informatif, Pinterest untuk penerokaan penggunaan imej dan fotografi sebagai medium perkongsian minat dan aplikasi penyuntingan video seperti InShot dan CapCut untuk penghasilan video pendek yang menarik.

"Paling menarik ialah apabila mereka berjaya menggunakan aplikasi TikTok sebagai platform untuk menggalakkan minat para peserta membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris," kongsinya.

Seorang lagi sukarelawan PEARL4PJ, Naqib al Hussaini pula berkata, menerusi penggunaan tanda pagar ‘BookTok’, para peserta telah didedahkan dengan kandungan-kandungan video pendek yang bermanfaat di TikTok.

"Selain daripada perkongsian ulasan buku, #BookTok ini juga digunakan oleh pengguna TikTok untuk berkongsi perasaan yang dialami apabila membaca sesebuah buku di dalam genre pilihan mereka.

"Ini sebenarnya amat mempengaruhi penonton, terutamanya remaja, untuk turut sama membaca buku yang dikongsikan,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok