Untitled (16)
Untitled (16)

Pelajar UPM jalankan keusahawanan fertigasi cili

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Oct 2021 05:37pm
A
A
A

SERDANG - Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), UPM bekerjasama melaksanakan projek penanaman cili di bawah program Kelestarian Pertanian - Inkubator Keusahawan Pelajar.

Untuk permulaan, sebanyak 1,000 pokok cili telah ditanam.

Pengetua KPZ, UPM, Dr Mohd Hafiz, berkata cili kulai kini berusia 45 hst (hari selepas tanam) telah mula dipasarkan dengan konsep ‘segar terus ke pelanggan’ dan pra-tempahan diterima sebelum cili dipetik dengan jumlah hasil tuai sehingga 100 kilogram (kg).

“Projek ini telah menghidupkan semula fungsi kawasan KPZ dan diharap kolej kediaman ini mengembangkan lagi projek kelestarian pertanian mengambil kira KPZ masih mempunyai kawasan yang sesuai dan tidak digunakan untuk sebarang aktiviti,” katanya.

Beliau berkata, suntikan modal RM5,000 dari KPZ untuk bantuan peralatan dan RM10,000 geran projek dari CEM membolehkan mereka merealisasikan impian untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.

Gambar ihsan daripada UPM.

“Projek cili kulai ini dijalankan di kawasan KPZ bersebelahan pejabat SUKSIS UPM , kawasan yang dahulunya dilitupi rumput dan tapak parkir kenderaan. Ia kini bertukar wajah menjadi pemandangan dengan deretan pohon cili yang lebat berbuah,” ujar beliau.

HI Agro Ent yang dianggotai pelajar UPM iaitu Mohd Hakeem Mohd Ibrahim, Muhammad Amin Abdullah Azhar, Balqis Mohamad, Muhamad Azeem Abdul Mubin dan Mohd Syafiq Syazwan Rosli memulakan projek ini pada Julai 2021.

Selain dijual secara terus, HI Agro Ent turut memasarkan jeruk cili sebagai produk hiliran. Semua produk segar dan proses ini dipasarkan dengan jenama KPZ Fresh.

Gambar ihsan daripada UPM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Arifin Abdu, berkata projek yang dijalankan itu adalah menyahut seruan untuk UPM kembali menjadi peneraju dalam bidang pertanian berteknologi tinggi.

“Kaedah ini juga adalah serampang dua mata, di samping menggalak penglibatan pelajar dalam bidang pertanian, ia turut berfungsi membangun potensi graduan untuk menjadi usahawan, menepati konsep graduate as job creater,” kongsi beliau.

Projek seumpama itu akan dikembangkan melalui CEM di bawah Pejabat TNC HEPA UPM selaku peneraju.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok