
Tuisyen Cikgu Saarani terus beri nafas baharu kepada calon SPM, STPM dan STAM
Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh agenda pendidikan dengan meneruskan pelaksanaan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang kini memasuki tahun kelima pelaksanaannya.
Melalui program ini, seramai 27,563 calon peperiksaan awam di seluruh negeri bakal menerima manfaat bantuan makanan percuma bernilai RM5 sehari sepanjang tempoh persediaan menghadapi peperiksaan utama tahun 2025.
Inisiatif diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menyempurnakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Murid Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Perak 2025 di Laman Seri Ridzuan malam tadi. Ia merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memastikan pelajar, khususnya calon SPM, STPM dan STAM, kekal fokus dan bersemangat menjelang peperiksaan.
Bantuan makanan percuma di bawah program TCS dilaksanakan bagi menyokong pelajar yang mengikuti kelas tambahan pecutan peperiksaan di seluruh negeri.
Menariknya, bagi tahun ini tempoh bantuan tersebut dipanjangkan daripada 20 hari kepada 25 hari, meliputi fasa persediaan paling kritikal sebelum peperiksaan bermula. Langkah itu diyakini mampu membantu pelajar mengekalkan tahap tenaga dan tumpuan sepanjang sesi pembelajaran intensif.
Menurut kenyataan Yayasan Perak, inisiatif ini bukan sekadar menyediakan makanan tetapi berperanan sebagai dorongan moral kepada pelajar agar lebih berdisiplin menghadiri kelas tambahan.
Data pelaksanaan terdahulu menunjukkan peningkatan positif terhadap kadar kehadiran murid serta keputusan peperiksaan awam, sekali gus membuktikan keberkesanan program Tuisyen Cikgu Saarani sebagai antara intervensi pendidikan terbaik di negeri Perak.

Pelaksanaan bantuan makanan percuma ini turut disokong oleh lima syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM3.96 juta. Antara penyumbang utama ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Lembaga Air Perak (LAP) yang masing-masing menyalurkan RM1.05 juta, diikuti Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) sebanyak RM750,000, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak RM560,000 dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) sebanyak RM550,000.
Sumbangan akan disalurkan kepada kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Didik, seterusnya dikoordinasikan oleh Yayasan Perak selaku agensi penyelaras utama.
Yayasan Perak akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan bantuan sampai ke semua sekolah yang terlibat di seluruh negeri.
Dalam kenyataannya, Yayasan Perak menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh agenda pendidikan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP) agar setiap inisiatif yang digerakkan memberi manfaat langsung kepada murid dan sekolah.
Program seperti TCS bukan sahaja menyokong pencapaian akademik pelajar, tetapi turut memperkukuh aspek kesejahteraan, semangat juang dan motivasi mereka dalam menghadapi cabaran peperiksaan.
Terdahulu, majlis bacaan Yasin dan solat hajat turut diadakan bagi mendoakan kejayaan semua calon peperiksaan awam di negeri Perak.
Suasana penuh keinsafan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri serta masyarakat dalam memastikan anak-anak Perak bukan sahaja berjaya di dunia pendidikan, tetapi juga diberkati dalam setiap langkah perjuangan mereka.
Dengan kesinambungan Program Tuisyen Cikgu Saarani dan komitmen berterusan kerajaan negeri, Perak terus membuktikan bahawa pendidikan adalah keutamaan utama.
Usaha yang menyeluruh ini memberi nafas baharu kepada pelajar, bukan hanya melalui ilmu dan bimbingan, tetapi juga melalui perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka sebagai bakal generasi penerus negeri.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Perak meneruskan Program Tuisyen Cikgu Saarani yang memasuki tahun kelima
- Pelajar bakal menerima bantuan makanan percuma sepanjang persediaan peperiksaan tahun 2025
- Inisiatif ini bertujuan untuk membantu pelajar kekal fokus dan bersemangat menjelang peperiksaan
- Bantuan makanan percuma dilaksanakan untuk menyokong pelajar yang mengikuti kelas tambahan
- Sumbangan daripada lima syarikat berkaitan kerajaan negeri menyokong pelaksanaan bantuan makanan percuma
