alumniupm3
alumniupm3

Pelajar UPM terima tajaan pengajian daripada Menteri Besar Selangor

Nor Azma  Muhamat Laila
17 May 2022 04:25pm
A
A
A

SHAH ALAM – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Fakhirah Zulfikar Ali menjadi antara pelajar yang bertuah apabila menerima tajaan pengajian berjumlah RM15,000 daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sumbangan itu dibuat oleh Amirudin yang merupakan Alumni UPM Kelas 2002 untuk kembali menyumbang kepada alma maternya dengan menaja Nur Fakhirah yang kini mengikuti pengajian dalam Jurusan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Kampus UPM Bintulu.

Amirudin berkata, sumbangan dan tajaan biasiswa yang diberikan itu diharap dapat meringankan beban keluarga dan seterusnya membantu pelajar terutama mereka daripada keluarga B40 meneruskan pengajian hingga berjaya.

“Ini juga antara tanggungjawab kami selaku alumni UPM untuk kembali membantu alma mater dengan mengambil cakna terhadap keperluan pelajar-pelajar di UPM supaya dapat menggapai kejayaan.

“Ia selari dengan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh UPM pada hari ini dan kita dapat lihat universiti ini dari semasa ke semasa sedang mendaki kejayaan apabila disenaraikan sebagai universiti terbaik bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar negara,” katanya ketika majlis penyerahan biasiswa dan temu mesra bersama pelajar tajaan di Pejabat Menteri Besar, baru-baru ini.

Selain Nur Fakhirah, tiga lagi pelajar dari Kampus Bintulu turut menerima sumbangan RM1,000 secara ‘one off’ daripada pihak Menteri Besar Selangor.

Mereka ialah pelajar Diploma Pengurusan Perladangan dan Makanan, Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani; Nur Aziera Asri (Diploma Pengurusan dan Perladangan) dan Nur Zahirah Mohd Najmudin (Diploma Pengurusan Tani).

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, kembalinya alumni kepada alma mater ini banyak merubah senario pengajian tinggi pada hari ini.

“Keterlibatan alumni dalam menjayakan visi dan misi universiti ibarat kata ‘ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul’ dalam melahirkan graduan yang berkualiti tinggi serta berdaya saing.

“Dengan slogan Daripada Alumni kepada UPM, ia telah banyak menyuntik semangat kebersamaan alumni dalam pelbagai keperluan dan program yang dianjurkan oleh universiti malah kebersamaan alumni hari ini, boleh memberi teladan kepada pelajar untuk mereka juga melakukan perkara yang sama apabila bergraduan dan berjaya kelak.

“Jadi, kesinambungan untuk kembali berbakti kepada alma mater tidak akan terputus saat mereka menerima segulung ijazah pada hari terakhir berada di universiti sebaliknya kelangsungan hubungan itu diharapkan dapat diteruskan untuk bersama-sama membangunkan alma mater tercinta,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok