utar3
utar3

Pelajar UTAR terima kit kebersihan dari MR D.I.Y, bantu kekal selamat semasa peralihan fasa endemik

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Apr 2022 04:13pm
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 3,817 pelajar dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long, Kajang, Selangor menerima kit kebersihan diri daripada MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) melalui inisiatif #DIY4UTAR oleh peruncit itu.

Kempen tersebut menyaksikan MR D.I.Y. menggerakkan sumber-sumbernya dan pasukan #mrdiycares untuk mendapatkan bekalan, membungkus dan mengagihkan kit kebersihan diri kepada para pelajar.

Setiap pelajar menerima dua kotak pelitup muka tiga lapis, sebotol pencuci tangan, dan dua set kit ujian kendiri calitan hidung sebagai sebahagian daripada satu lagi inisiatif baharu MR D.I.Y untuk membantu memastikan pelajar kekal selamat sepanjang fasa peralihan endemik ini.

Ketua Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, sebagai sebuah jenama Malaysia, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa organisasi sepanjang pandemik bagi memastikan golongan yang memerlukan bantuan memperoleh barangan keperluan harian untuk kekal selamat.

"Ia termasuklah menyediakan pelitup muka, pencuci tangan, peralatan perlindungan diri dan sebagainya kepada mereka yang memerlukan.

"Sejak dua tahun lalu, kami telah memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan, anggota badan-badan beruniform, negeri-negeri tertentu seperti Sabah yang mencatatkan kadar jangkitan yang tinggi, serta komuniti yang memerlukan seperti golongan miskin dan warga emas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, memandangkan para pelajar universiti di seluruh negara telah mula kembali ke kampus, pihaknya menyedari ada keperluan untuk membantu mereka membuat persiapan sebelum memasuki kampus atau kolej kediaman.

"Kami telah berhubung dengan UTAR menerusi inisiatif #DIY4UTAR ini dan amat gembira dengan sambutan positif yang diterima.

"Kami ingin membantu pelajar agar kekal selamat dan dapat meneruskan sesi pembelajaran malah turut berharap agar #DIY4UTAR akan memberi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain untuk melakukan perkara yang sama bersama sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain,” kata Goh.

Goh juga mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pentadbiran UTAR kerana telah memastikan pengagihan kit kebersihan diri tersebut dijalankan dengan selamat dan efisien.

Inisiatif #DIY4UTAR adalah salah satu daripada siri usaha sama antara MR D.I.Y. dan IPT di bawah kempen #DIY4.

Sebelum ini, MR D.I.Y. telah menjalin usaha sama dengan Kumpulan Touch ‘n Go (Touch ‘n Go) dan Universiti Malaya (UM) menerusi inisiatif #DIY4UM yang mengedarkan bantuan tunai kepada lebih 12,000 pelajar sebagai persiapan untuk kembali ke kampus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok