
Pelajar antarabangsa disambut mesra, IPTA beri keutamaan kepada anak tempatan
Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian tinggi untuk mendapatkan hasil pengiktirafan global terhadap kualiti Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta kemudahan bertaraf dunia yang ditawarkan.
Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan bahawa kehadiran pelajar luar negara itu sama sekali tidak menjejaskan peluang anak tempatan.
Menurut kenyataan rasmi, keutamaan untuk melanjutkan pengajian di IPTA tetap diberikan kepada pelajar Malaysia tanpa sebarang kuota yang dikorbankan bagi tujuan kemasukan pelajar antarabangsa.

“Kebanyakan pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia adalah di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), manakala jumlah di peringkat sarjana muda amat kecil.
“Setiap kemasukan dipantau dengan teliti dan perlu memenuhi syarat serta penilaian ketat bagi memastikan kualiti akademik dan integriti sistem pendidikan tinggi negara sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada 14 Oktober, lebih 1,000 pelajar antarabangsa bersama sebahagian pelajar tempatan diraikan dalam Program Meet and Greet with International Students (MAGNET 2025) yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Melaka.
Program berkenaan bertujuan menghubungkan pengurusan tertinggi KPT dengan pelajar antarabangsa yang baru tiba di Malaysia.

Dalam pertemuan itu, pelajar diminta agar memanfaatkan peluang menuntut ilmu di Malaysia bukan sekadar untuk kecemerlangan akademik, tetapi juga bagi mendalami budaya tempatan, memahami keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Secara tidak langsung, ia mampu membina jaringan sahabat antarabangsa yang bakal menjadi jambatan hubungan antara negara pada masa hadapan.
KPT turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Education Malaysia Global Services (EMGS) serta semua pihak yang telah menjayakan penganjuran program tersebut dengan cemerlang.
Ringkasan AI
- Malaysia terus menjadi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian tinggi kerana kualiti dan kemudahan bertaraf dunia yang ditawarkan
- Kementerian Pengajian Tinggi menegaskan kehadiran pelajar luar negara tidak menjejaskan peluang anak tempatan
- Keutamaan untuk melanjutkan pengajian di IPTA adalah untuk pelajar Malaysia tanpa kuota yang dikorbankan untuk pelajar antarabangsa
- Pelajar antarabangsa kebanyakannya menuntut di peringkat sarjana dan doktor falsafah dengan kemasukan yang dipantau secara teliti
- Program Meet and Greet with International Students (MAGNET 2025) diraikan untuk menghubungkan pengurusan KPT dengan pelajar antarabangsa baru di Malaysia