Pemberian kalkulator saintifik mudahkan pelajar kurang berkemampuan
Kalkulator rosak sejak hampir setahun lalu menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Dua berdepan kesukaran menyelesaikan soalan Matematik terutama di rumah.
Namun selepas terpilih sebagai salah seorang penerima kalkulator saintifik daripada Petronas melalui Program WeHelp, Evvalynia Sapikin, 14, bersyukur kerana dia tidak perlu meminta bapanya membelikan alat mesin kira itu
Menurut Evvalynia, kalkulator yang dia gunakan sebelum ini adalah milik kakaknya yang kini berada di Tingkatan Enam dan alat itu rosak pada awal tahun ini.
"Sejak kalkulator rosak, saya sukar menyiapkan latihan soalan Matematik di rumah kerana tiada alat itu sendiri.
"Kerana selama ini, saya terpaksa menggunakan kalkulator yang cikgu pinjamkan di sekolah," katanya ketika ditemui Sinar Bestari selepas menerima kalkulotor saintifik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
Evvalynia yang juga anam keempat daripada enam beradik berkata, bapanya hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya seorang suri rumah.
"Dengan pendapatan bapa hanya RM1,500 sebulan untuk menyara kami sekeluarga sudah tentu ada banyak lagi yang perlu difikirkan.
"Lagipun harga kalkulator pun mahal juga sekitar RM60, sedangkan semua kami masih bersekolah jadi saya serba salah minta bapa belikan kalkulator yang baharu.
"Tetapi dengan bantuan yang diberikan ini saya gembira sekurang-kurangnya dapat meringankan beban bapa saya," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran.
Seorang lagi penerima bantuan iaitu pelajar Tingkatan Dua SMK Kinarut, Hazamrin Hussin berkata, pemberian kalkulator itu menambahkan lagi semangatnya untuk mempelajari Matematik.
"Memandangkan saya sangat suka Matematik jadi bila ada alat mesin kira yang baharu sudah tentu memberikan saya lebih semangat untuk belajar.
"Saya berhasrat mahu menjadi guru Matematik, jadi sejak dari awal saya mahu asah bakat dalam ilmu Matematik dengan melakukan latih tubi," katanya.
Hazamrin yang juga anak nelayan berkata, dia mahu mengubah nasib keluarganya yang kurang berkemampuan dengan belajar bersungguh-sungguh untuk pergi ke menara gading dan seterusnya dapat pekerjaan yang lebih baik.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Abdullah Monshie berkata, sebanyak 17,190 unit kalkulator saintifik diberikan kepada pelajar di negeri ini.
Menurut Abdullah lagi, pemberian kalkulator saintifik itu selaras dengan rancangan pembangunan pendidikan tiga tahun dan aspirasi Petronas untuk memacu pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.
"Kami percaya bahawa penyediaan kalkulator saintifik melalui program ini adalah langkah penting dalam memperkukuhkan fokus STEM di kalangan pelajar.
"Ia bukan sahaja memudahkan pengiraan, tetapi juga membantu pelajar memberi tumpuan kepada pemahaman konsep. Jadi, saya percaya bahawa akses kepada kalkulator ini akan meningkatkan keyakinan pelajar dalam mata pelajaran STEM, mendorong minat, dan meningkatkan kompetensi mereka," katanya.
Sehubungan itu, Abdullah berharap usaha itu akan meningkatkan pendaftaran pelajar dalam bidang STEM, yang penting untuk kemajuan teknologi dan inovasi pasa masa hadapan.
"Diharap usaha murni ini dapat memberi manfaat langsung kepada pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik," katanya.