Tun Arshad Ayub
Tun Arshad Ayub

Pemergian Tun Arshad Ayub, ini fakta yang anda perlu tahu

Adlan Farhan Azwan
14 Jun 2022 05:08pm
A
A
A

Pagi ini kita dikejutkan dengan berita pemergian Tokoh Pendidikan Negara, Tun Arshad Ayub, 93 yang telah banyak menyumbang kepada bidang pendidikan di Malaysia.

Allahyarham Arshad bukan nama asing dalam landskap pendidikan negara termasuklah institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah melahirkan ratusan ribu modal insan Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang profesional.

Dilahirkan di Muar, Johor pada 15 November 1928, anak sulung dalam keluarga penoreh getah ini telah dibesarkan dalam keadaan yang serba kekurangan.

Hidup beliau bertambah sukar apabila menghidap demam kepialu dan selepas kematian ibu bapanya, dia perlu menggalas tanggungjawab membesarkan empat adiknya.

Namun, di sebalik cabaran dan kesukaran yang dihadapi, Arshad tetap tekun serta berdisiplin untuk memajukan diri malah, tahun-tahun awal berdepan kesukaran itulah yang membentuk dirinya untuk menjadi seorang pendidik dan penjawat awam.

Arshad sendiri pernah merasai kehidupan dalam kemiskinan. Oleh itu, beliau bertekad untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik melalui pendidikan.

Apa sahaja peluang pendidikan yang diberikan, Arshad akan menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk maju dan memperbaiki taraf kehidupannya.

Pada 1954, Allahyarham Arshad berjaya mendapat kelulusan Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian di Serdang, Selangor.

Rezekinya tidak terhenti di situ saja apabila beliau seterusnya dianugerahkan biasiswa Kolonial dan Pembangunan pada 1953 untuk melanjutkan pengajian ke University College of Wales Aberystwyth, United Kingdom.

Berkat doa dan usaha yang seiring, beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kepujian dalam bidang Ekonomi dan Statistik pada 1958 dan kemudiannya memperoleh Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada Pembangunan Pengurusan di Lausanne, Switzerland (IMD) pada 1964.

Penglibatan Allahyarham Arshad dalam sistem pendidikan bermula sebagai Pengetua Kolej Perniagaan dan Pengajian Profesional MARA pada 1965.

Pada 1967 pula, Maktab MARA telah diubah menjadi Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan beliau ialah pengarah pertama bagi institut itu bermula dari 1965 hingga 1975.

Semasa bertugas, Arshad memainkan peranan penting dalam pembentukan UiTM dengan menerapkan konsep dan program yang belum diterokai dalam sektor pengajian tinggi di Malaysia.

Kemajuan sistem pendidikan negara sekali lagi dibuktikan apabila beliau menjadi individu yang pertama di negara ini memperkenalkan kursus sains gunaan, komunikasi massa, pengurusan perniagaan, seni bina, pentadbiran awam dan katering hotel di peringkat pengajian tinggi.

Selain itu, UiTM juga merupakan institusi pertama di Malaysia yang menawarkan program berprestij Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Hasil sumbangan dan jasa Allahyarham Arshad sehingga tertubuhnya UiTM, hari ini universiti itu merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) terbesar negara dari segi saiz dan populasi.

Artikel berkaitan

35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022

Di sebalik nama politeknik, Ungku Omar tokoh sains dan perubatan Melayu terawal

Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul dinobatkan Tokoh Akademik Bahasa Melayu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok