perak puo profesor dr ahmad Di sebalik nama politeknik Ungku Omar tokoh sains dan perubatan Melayu terawal
perak puo profesor dr ahmad Di sebalik nama politeknik Ungku Omar tokoh sains dan perubatan Melayu terawal

Di sebalik nama politeknik, Ungku Omar tokoh sains dan perubatan Melayu terawal

Rasyidah Zulkifi
23 Apr 2022 11:12pm
A
A
A

Politeknik Ungku Omar (PUO) adalah pusat pengajian awam premier yang ditubuhkan bersempena nama ikon bidang penyelidikan sains dan perubatan negara, Profesor Datuk Dr Ungku Omar Ahmad.

PUO dipilih bersempena nama Ungku Omar bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada bangsa dan negara.

Baca juga

Politeknik Kota Bharu sumbang 2,000 bubur lambuk untuk warga kampus

Ikon Muaddib pelengkap nilai tambah bakal guru Fakulti Pendidikan, UiTM

Ia ditubuhkan pada 1969 di Jalan Raja Musa Mahadi, Perak dengan peruntukan sebanyak RM24.5 juta oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Allahyarham telah dilahirkan pada 18 Januari 1931 di Johor dan terkenal dengan sifat kecerdasan sejak di bangku sekolah lagi.

Beliau mendapat pendidikan awal sehingga Darjah Enam di sekolah Melayu dan sekolah agama negeri yang sama.

Ungku Omar kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak dan pernah menjadi Ketua Murid.

Semasa berada di Tingkatan Lima, beliau sudah menghadiri Jambori Pengakap-pengakap di Melbourne, Australia.

Tamat pengajian di MCKK, Ungku Omar menyambung pengajian tinggi terus lompat ke tahun kedua dalam bidang ijazah Perubatan dan Bedah di Universiti Malaya, Singapura atas kebijaksanaannya.

Di sana, beliau telah dipilih sebagai ‘Student demonstrator’ dalam mata pelajaran Anatomi pada tahun 1954 berdasarkan keputusan cemerlang yang diperolehinya.

Ungku Omar kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dan Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur selepas menjalani ‘housemanship’ di Johor Bahru.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di London pada 1961 sehingga berjaya mendapat diploma dalam bahagian Patologi dari Royal College of Physician London dan Royal College of Surgeons England pada tahun 1962.

Dalam masa dua tahun di luar negara, Ungku Omar berpengalaman bekerja sebagai Pendaftar Kanan di Royal Free Hospital, School of Medicine pada masa sama, diterima menjadi ahli College of Pathologist, London.

Kejayaannya tidak terhenti di situ sahaja kerana pada 1965 beliau telah menunjukkan keupayaan yang begitu gigih sehingga meraih Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam ‘Clinical Chemistry’.

Sekembalinya ke tanah air, Ungku Omar dilantik menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan pada 1965 sehingga menjadi tumpuan negara-negara di seluruh dunia.

Sebagai seorang intelektual, Ungku Omar telah menghasilkan lebih 40 kertas kerja yang meliputi karya-karya sains dalam bidang pengkhususan beliau.

Makalah segala hasil penyelidikan mengenai kesihatan dan perubatan beliau disiarkan dan diterbitkan sehingga peringkat kebangsaan.

Di samping itu, beliau juga bertanggungjawab dalam penubuhan Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya dan Pengerusi Majlis Kolej Islam sejak 1967.

Ungku Omar adalah ahli rasmi ‘Mahkamah’ Universiti Malaya dan merupakan Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Di atas sumbangan dan jasa-jasanya yang begitu banyak dalam pelbagai bidang, pada 1967 beliau telah dikurniakan Darjah Setia Mahkota oleh D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati.

Manakala, pada 1968 beliau dianugerahkan gelaran Profesor oleh pihak Universiti Indonesia.

Pada 1968, Ungku Omar telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 38 tahun akibat serangan jantung.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok