Seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A , A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 11,713 calon pada 2023. (Gambar hiasan). Gambar kecil: Azman
Seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A , A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 11,713 calon pada 2023. (Gambar hiasan). Gambar kecil: Azman

Pencapaian SPM 2024 sangat membanggakan - Azman Adnan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
24 Apr 2025 10:44am

"Sukacita saya maklumkan bahawa keseluruhan pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 adalah sangat membanggakan.

"Ini merupakan keputusan yang terbaik di mana Gred Purata Kebangsaan (GPK) SPM 2024 adalah 4.49 mata berbanding GPK SPM 2023 sebanyak 4.60 mata, di mana ia mengecil sebanyak 0.11 mata sekali gus menunjukkan pencapaian SPM 2024 lebih baik berbanding tahun-tahun lepas."

Demikian kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan dalam Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2024 di Putrajaya pada Khamis.

Dalam pengumuman itu, Azman turut berkongsi trend GPK SPM pada tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, pada tahun 2022, GPK SPM sebanyak 4.74 mata dan GPK SPM 2021 adalah 4.86 mata.

Sementara itu, seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 11,713 calon pada 2023.

"Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian (gred C) dalam semua subjek turut meningkat kepada 86,040 calon pada 2024, berbanding 83,112 calon pada tahun sebelumnya.

"Manakala 136,791 calon iaitu 36.1 peratus, lulus semua mata pelajaran dalam SPM 2024. Ini merupakan peningkatan sebanyak 5,302 calon atau 0.9 peratus berbanding 131,489 calon (35.2 peratus) pada 2023,” ujarnya lagi.

Terdahulu, seramai 402,918 calon telah berdaftar untuk SPM 2024 berbanding 395,924 dalam SPM 2023.

Ini menunjukkan berlakunya pertambahan sebanyak 6,994 calon iaitu 1.7 peratus.

Dalam pada itu, bagi calon yang ingin menyemak keputusan SPM masing-masing, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan dua kaedah iaitu:

1) Secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my mulai pukul 10 pagi pada 24 April 2025 hingga 6 petang pada 30 April 2025; dan/atau

2) Secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan dengan menaip SPM jarak NoKP jarak AngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 24 April 2025 hingga 6 petang pada 30 April 2025.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp