Laporan Sinar Bestari pada Ahad.
Laporan Sinar Bestari pada Ahad.

Pendapat pakar mengenai si 'genius' terlalu diatur

NOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHANOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA
30 Sep 2024 09:25am

Kanak-kanak genius yang tidak melalui fasa tumbesaran sewaktu kecil berisiko berdepan dengan masalah seperti tekanan, perkembangan sosial terencat dan tidak mempunyai hala tuju jelas dalam kehidupan kelak.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Zulfikar Ahmad berkata, hal berkenaan berlaku disebabkan tindakan memintas proses tumbesaran kanak-kanak.

ZULFIKAR
ZULFIKAR

Menurutnya, memiliki tahap pemikiran tinggi pada usia muda boleh disifatkan sebagai anugerah, namun dalam hal ini keperluan tumbesaran mereka seperti kasih sayang keluarga, perkembangan psikososial dan pergaulan bersama rakan sebaya tidak boleh dinafikan.

“Tidak salah jika mendedahkan kanak-kanak genius ini dengan akademik peringkat universiti, namun ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan antaranya adakah pendidikan ini seiring dengan kematangan usia mereka?

“Dalam konteks pendidikan sesuai dengan usia adalah pembelajaran yang diketengahkan perlu mengambil kira keperluan perkembangan kanakkanak dan remaja secara kronologi usia.

“Ini kerana, proses tumbesaran yang dilalui tidak sama seperti kanak-kanak atau remaja lain,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sebelum ini, Izz Imil Shahrom, 12, mencatat sejarah apabila menjadi pelajar termuda pernah mendaftar masuk ke Universiti Malaya (UM) sejak penubuhannya pada tahun 1962.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai kebanyakan pelajar genius tidak mempunyai kerjaya seperti diharapkan, Zulfikar berkata, hal berkenaan berlaku disebabkan tindakan mengukur kelayakan seseorang untuk sesuatu skop pekerjaan kurang sesuai.

“Sebagai contoh, ada pihak mengharapkan seorang pelajar genius yang memperoleh Purata Gred Nilai (GPA) 4.0 dalam bidang kejuruteraan untuk bekerja di lapangan, namun adakah berada di lapangan sesuai sekiranya dibandingkan dengan berada di peringkat perancangan?

“Pelajar ini bukan tidak boleh bekerja tetapi mengukur kelayakan untuk sesuatu pekerjaan itu telah menyekat keinginan mereka.

“Dalam hal ini, kita sebenarnya yang tidak adil meletakkan mereka dalam tempat yang tidak sepatutnya (memberi peluang kepada kanak-kanak genius memilih pengajian yang diminati) kerana ada kemungkinan mereka terpaksa memenuhi tanggapan orang lain berbanding keinginan sendiri,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp