Pengajian tinggi perlu kerjasama global - MQA
Badan jaminan kualiti pengajian tinggi perlu menjalin kerjasama global dan membina jaringan antara satu sama lain bagi memacu kualiti bidang pendidikan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, bagi memastikan kualiti pengajian tinggi di negara ini memenuhi standard peringkat global, kerjasama erat perlu dijalin dengan badan jaminan kualiti di seluruh pelosok dunia.
Katanya, badan akreditasi tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya perlu bekerjasama erat dengan rakan di negara lain untuk terus berjaya dan kekal relevan.
"Jalinan yang terjalin bakal menyaksikan kesetaraan pengiktirafan antara universiti di negara ini dengan institusi pengajian tinggi (IPT) bawah naungan rakan strategik di negara lain.
"Dengan kualiti pendidikan tinggi negara yang baik, agenda menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global akan dapat dijayakan seterusnya membantu mencapai hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa pada tahun 2025," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertama Persidangan Maya Antarabangsa 2022 anjuran Higher Education Evaluation and Accreditation Council of Taiwan (HEEACT) dengan tajuk 'Pembangunan Badan Akreditasi dan Trend dalam Jaminan Kualiti'.
Selain Mohammad Shatar, sesi itu turut menampilkan tiga lagi pembentang iaitu Pengarah Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi, Indonesia, Profesor Ari Purbayanto; Presiden Kehormat Taiwan Assesment and Evaluation Association (TWAEA), Taiwan, Dr Shen-Li Fu dan Ketua Penilai dan Bahagian Latihan, HEEACT, Dr Jackson Chun-Chi Chih.
Sesi terbabit dikendalikan Profesor Angela Yung-Chi Hou dari Jabatan Pendidikan, National Chengchi University, Taiwan selaku moderator.
Mengulas persidangan itu, Mohammad Shatar berkata, pelbagai isu dibincangkan dalam suasana pengajian tinggi tidak menentu dan sukar dijangkakan serta bagaimana pihak universiti bertindak balas dalam mendepani isu dihadapi.
"Persidangan ini menjadi platform kepada badan akreditasi dari serata dunia untuk membincangkan cabaran dihadapi dalam dunia pengajian tinggi pascapandemik Covid-19, strategi baharu dan inisiatif terkini dijalankan setiap agensi.
"Pendidikan fleksibel yang menjadi trend terkini pengajian tinggi juga menjadi topik hangat dibincangkan termasuk penawaran Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan program Micro-credentials," jelasnya.
Artikel berkaitan
MQA komited tubuh Pusat Penilaian APEL di luar negara
Pendidikan tinggi untuk masa depan
MQA, EMGS perkukuh kerjasama akreditasi program pelajar antarabangsa