MQA-UMSU1
MQA-UMSU1

MQA komited tubuh Pusat Penilaian APEL di luar negara

Norliza Wasilan
27 Sep 2022 11:47am
A
A
A

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) komited untuk menubuhkan Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) Antarabangsa pertama di luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, pihaknya kini dalam perbincangan dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) bagi tujuan berkenaan.

Ujarnya, inisiatif bersama UMSU itu bakal memperluas akses pendidikan dalam kalangan masyarakat di sekitar Sumatera Utara khasnya dan Indonesia umumnya untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.

Mohammad Shatar (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Agussani.

Tambah beliau, pendekatan itu secara tidak langsung mempromosikan agenda pendidikan fleksibel dan pengajian sepanjang hayat (PSH).

“Usaha UMSU untuk menjadi Pusat Penilaian APEL akan diperhalusi dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia dan badan akreditasinya sebelum boleh menawarkan program melalui laluan alternatif APEL.

“MQA akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada IPT sama ada di Malaysia mahu pun luar negara untuk melaksanakan APEL kerana pasaran APEL ini sangat besar,” ujarnya ketika sesi perkongsian dan perbincangan MQA bersama UMSU bagi menyemarakkan inisiatif PSH dan pendidikan fleksibel di universiti terbabit, baru-baru ini.

Hadir sama, Rektor UMSU, Profesor Dr Agussan, M.AP; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Wakil Rektor I, Profesor Dr Muhammad Arifin; Wakil Rektor II, Profesor Dr Akrim M.Pd dan Wakil Rektor III, Profesor Madya D Rudianto.

Sementara itu, Agussani berkata, usaha yang dilakukan bersama MQA itu akan membolehkan UMSU mendepani perubahan dan kekal relevan dalam dunia pengajian tinggi.

Ujarnya, UMSU mengadakan banyak kerjasama dengan universiti di Malaysia yang menjadi rakan strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar.

“UMSU berharap kerjasama yang terjalin dengan universiti di Malaysia dan negara lain akan menaikkan nama universiti ini di peringkat global,” katanya.

Artikel berkaitan

Pendidikan tinggi untuk masa depan

MQA, EMGS perkukuh kerjasama akreditasi program pelajar antarabangsa

MQA lancar APEL.Q, perkasa pembelajaran sepanjang hayat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok