WhatsApp Image 2021-06-20 at 15.03.42
WhatsApp Image 2021-06-20 at 15.03.42

Pengambilan guru secara one-off redakan keluhan graduan pendidikan mengenai ketiadaan peluang pekerjaan - MPPK

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Jun 2021 04:20pm
A
A
A

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berharap keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuat pengambilan khas guru seramai 18,702 orang secara one off dapat dimanfaatkan graduan pendidikan yang telah lama menganggur dan terpaksa bekerja di luar bidang mereka.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata langkah yang diambil oleh KPM itu sangat bertepatan dengan situasi kini.

"MPPK berharap peluang ini dapat dimanfaatkan oleh graduan pendidikan supaya tidak ada lagi keluhan daripada mereka mengenai ketiadaan peluang pekerjaan.

"Sebelum ini, ramai graduan pendidikan dilaporkan tidak mendapat peluang menjadi guru dan terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dgn kelulusan mereka, sehingga ada yang menjadi pengawal keselamatan dan pelbagai lagi pekerjaan yang bukan bidang mereka," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pengambilan guru secara one-off terima reaksi pelbagai daripada masyarakat.

Pagi tadi, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan pengambilan khas secara one-off itu bertujuan menampung kekurangan guru di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor selain usaha mencapai perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Kekurangan guru bagi negeri-negeri terlibat membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam.

Bagi sekolah rendah, lima mata pelajaran yang mengalami kekurangan guru ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Iklan pengambilan akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 7 Julai depan dan penempatan pula bermula Oktober secara berperingkat.

Dalam pada itu, Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK turut menzahirkan penghargaan kepada KPM kerana cakna dan komited dalam membantu graduan yang kini agak tersepit dengan pelbagai masalah.

"Selain dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, pengambilan guru secara one-off dan besar-besaran ini juga dilihat sebagai langkah tepat dalam menjamin kelancaran pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika pandemik Covid-19," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok