
Pengetua, Penolong Kanan HEM, warden SMKA Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di JPN Sabah - KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Menurut kenyataan media KPM, keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina.
"KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
"Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
"Kementerian berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat," maklumnya pada Rabu.
Terdahulu, Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital itu.
Dia dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha pada 4 pagi, 16 Julai.