Sekolah tersebut telah memulakan operasinya pada 6 Januari 2003 dengan menggunakan tapak SMKA Limauan Kota Kinabalu.
Sekolah tersebut telah memulakan operasinya pada 6 Januari 2003 dengan menggunakan tapak SMKA Limauan Kota Kinabalu.

Menyingkap sejarah & kejayaan SMKA Tun Datu Mustapha

31 Jul 2025 02:59pm

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, Sabah kini menjadi perhatian umum susulan laporan berkaitan insiden buli yang dilaporkan berlaku di sekolah itu.

Walaupun isu tersebut mencetuskan perbincangan meluas, masih ramai yang belum benar-benar mengenali latar belakang dan sejarah sekolah ini.

Bagi memberi gambaran yang lebih menyeluruh, Sinar Bestari menyoroti sejarah ringkas penubuhan dan perkembangan SMKA Tun Datu Mustapha sebagaimana yang direkodkan menerusi sumber Wikipedia.

SMKA Tun Datu Mustapha merupakan sebuah sekolah menengah agama yang terletak di Jalan Limau-Limauan berhampiran dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan Kinarut, Papar, Sabah.

Pada tahun 2009, sekolah ini memiliki seramai 160 pelajar lelaki dan 194 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan 354 orang. Manakala gurunya terdiri daripada 48 guru.

Pada 2013, SMKA Tun Datu Mustapha memiliki sejumlah 525 pelajar dan lebih 54 guru serta 12 anggota kakitangan sekolah.

Sehingga Oktober 2020, sekolah itu memiliki seramai 451 pelajar, 51 guru serta 13 anggota kumpulan sokongan sekolah.

Sekolah tersebut telah memulakan operasinya pada 6 Januari 2003 dengan menggunakan tapak SMKA Limauan Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

Tapak dan bangunan asalnya ialah Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia Cawangan Sabah sejak 1973 di bawah pengawasan Yayasan Sabah.

Kemudian pihak Yayasan Sabah membuat penyerahan rasmi pada 1997 kepada Jabatan Pendidikan Sabah melalui Datuk Dr Hasbullah Mohd Taha, Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu.

Maka, rasmilah tapak dan bangunan asal ini di bawah kawalan dan penjagaan Jabatan Pendidikan Sabah.

Sementara itu, SMKA Tun Datu Mustapha tidak terkecuali dalam meraih pelbagai kejayaan sepanjang penubuhannya.

Menurut Wikipedia, pasukan Forum Remaja sekolah ini berjaya meraih tempat kelima dalam Pertandingan Forum Remaja peringkat kebangsaan pada 2014.

Pasukan PsychoScience pula muncul sebagai Naib Johan dalam Pertandingan School Lab peringkat kebangsaan anjuran British Council.

Dari segi akademik, Wikipedia turut menyatakan bahawa semua pelajar menengah rendah (Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga) mengambil pakej mata pelajaran yang terdiri daripada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Reka Bentuk dan Teknologi; Pendidikan Seni Visual serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Bermula pada 2020, pakej mata pelajaran untuk para pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima yang ditawarkan adalah pelbagai termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Bahasa Arab, Pendidikan Syariah Islamiah, Fizik dan Kimia.

Akhir sekali, Wikipedia turut menyenaraikan nama-nama pengetua yang pernah menerajui kepimpinan sekolah ini sejak penubuhannya hingga kini.

Mereka ialah:

1) Ustaz Haidon Hadi Sapiri (2003 - 2012)

2) Datuk Ustaz Saifulzaman Sangul (2013 - 2018)

3) Ustaz Rapihi Derim @ Wasihim (2018 - 2023)

4) Datin Rosnih Nasir (2024)

5) Ustazah Shaharoom Hashim (2025 - kini)

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp